Sukan jadi ejen perpaduan satukan masyarakat berbilang kaum, agama

Tenom: Aktiviti sukan perlu terus dimartabat dan dijadikan ejen perpaduan ke arah penyatuan masyarakat sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia.

Pengerusi JJ Football Club, Jamawi Jaafar, berkata sukan mempunyai kelebihan tersendiri dalam usaha mengeratkan perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama.

Jamawi menyerahkan sumbangan kepada penganjur selepas merasmikan kejohanan Bola Sepak Piala JJ di Kemabong.

“Sukan bukan sekadar aktiviti riadah tetapi jauh lebih besar ia adalah ejen perpaduan yang dapat menyatukan rakyat,” katanya ketika merasmikan kejohanan Bola Sepak Piala JJ di padang Skim Kuala Tomani, Kemabong, baru-baru ini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong itu berkata, kegiatan sukan menjadi wadah yang dapat mengintegrasikan masyarakat khususnya di daerah ini.

“Apabila bersukan atau beriadah, tiada siapapun yang akan memikirkan mengenai politik atau warna kulit, sebaliknya mereka hanya memikirkan cara terbaik untuk bermain dalam satu kumpulan,” katanya.

Mengenai kejohanan itu, Jamawi berkata program seumpama itu perlu diteruskan pada masa akan datang kerana ia adalah kunci utama untuk memenangi hati masyarakat.

Katanya, kegiatan sukan juga adalah platform penting dalam menggalakkan penyertaan belia dalam program kemasyarakatan.

Tambah beliau, aktiviti sukan dapat mengelakkan generasi muda dan belia daripada terlibat dengan sebarang gejala tidak sihat yang tidak membawa sebarang kebaikan, sebaliknya hanya menghancurkan masa depan diri dan memusnahkan harapan bangsa serta negara.

Sambil melahirkan harapan kejohanan itu dapat mencungkil bakat baharu dalam sukan bola sepak, Jamawi berkata bakat yang ada perlu digilap dan ditonjolkan ke peringkat yang lebih jauh, bukan setakat di peringkat kampung malah perlu diketengahkan hingga ke peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

“Kita berharap melalui kejohanan ini kita dapat melihat dan menilai bakat-bakat pemain muda untuk dibimbing dan diketengahkan ke peringkat yang lebih jauh.

“Ia supaya mereka bukan sahaja bermain untuk daerah malah jika bakat mereka menyerlah boleh diketengahkan ke peringkat negeri dan seterusnya ke peringkat kebangsaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|