Pelancongan berasaskan komuniti boleh elak penghijrahan belia

Pelancongan berasaskan komuniti boleh elak penghijrahan belia

Kota Kinabalu: Pembangunan aktiviti pelancongan berasaskan komuniti (CBT) di Sabah boleh mengelak masalah penghijrahan penduduk desa ke bandar, khususnya golongan belia.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Noredah Othman, berkata ia kerana aktiviti itu mampu menyediakan sumber pendapatan yang mampan kepada belia di kampung.

Noredah menerima cenderamata dari Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat, UMS.

Katanya, kawasan luar bandar mempunyai peluang ekonomi yang luas untuk dimanfaatkan oleh golongan muda termasuk aktiviti CBT.

“Salah satu objektif STB adalah untuk menggalakkan orang-orang muda bekerja dalam masyarakat dan mereka tidak seharusnya keluar dari kampung untuk mencari sumber pendapatan.

“Pekerjaan ada di mana-mana dan yang penting ialah usaha. Kawasan luar bandar kaya dengan sumber semula jadi dan persekitaran yang mempesonakan. Justeru, golongan muda boleh mencari pekerjaan dan peluang dalam program CBT,” katanya.

Noredah berkata demikian pada sesi perkongsian anjuran Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.

Sesi yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat, Dr Elia Godoong itu memfokuskan kepada peluang komuniti luar bandar dalam industri eko pelancongan.

Perkongsian itu juga membincangkan mengenai penghijrahan golongan muda dari luar bandar ke bandar dan meninggalkan golongan tua untuk menguruskan kehidupan di kampung.

Noredah berkata golongan belia harus mengekalkan warisan dan terus menetap di kampung bagi membantu mempromosikan perkampungan mereka sebagai destinasi luar bandar dan negeri secara keseluruhannya.

“Kawasan luar bandar adalah destinasi pelancongan yang menarik, dan eko-pelancongan sering dikaitkan dengan alam semula jadi serta komuniti. Maka itu, CBT adalah penting kerana ia menggalakkan orang-orang muda untuk terus memulihara dan memelihara alam sekitar serta menghargai kampung mereka,” katanya.

Tegasnya, pihak STB sentiasa bersedia untuk membantu masyarakat luar bandar yang berhasrat untuk menceburi bidang CBT dengan menyediakan sokongan, latihan dan dana yang diperlukan.

Beliau berkata, STB turut bekerjasama dengan persatuan pelancongan daerah untuk membangunkan CBT dengan 26 daerah di Sabah sudah menubuhkan jawatankuasa pelancongan untuk membantu melestarikan aktiviti pelancongan di kawasan masing-masing.

Sementara itu, Noredah berkata STB terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana universiti bagi inisiatif penyelidikan khususnya mengenai pelancongan luar bandar.

“Baru-baru ini, kami menyediakan geran untuk mereka yang ingin dan berminat menjalankan penyelidikan untuk pihak lembaga.

“Kerjasama sedemikian penting kerana ia membolehkan pihak kami menggunakan data mereka untuk melakukan perancangan strategik,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|