Masyarakat Dusun Tatana sambut Tahun Baharu Cina sejak zaman nenek moyang

Masyarakat Dusun Tatana sambut Tahun Baharu Cina sejak zaman nenek moyang

Kuala Penyu: Lazimnya perayaan Tahun Baharu Cina disambut oleh masyarakat berbangsa Cina, namun lain pula bagi masyarakat di daerah ini apabila perayaan itu turut dirayakan oleh masyarakat Dusun Tatana.

Persiapan untuk meraikan sambutan perayaan itu sama seperti masyarakat Cina yang lain termasuk menyediakan perhiasan tanglung dan makanan untuk dihidangkan kepada tetamu.

Kimsit dan isterinya, Dimin membersihkan tempat sembahyang mengikut amalan Cina di rumahnya di Kampung Menumpang, Kuala Penyu.

Uniknya, masyarakat Dusun Tatana yang masih mengamalkan adat lama turut memiliki tempat sembahyang sendiri atau tokong kecil di rumah sama seperti amalan masyarakat Cina.

Menambahkan lagi keunikan di daerah ini, terdapat juga Kapitan atau Ketua Masyarakat Cina mewakili Dusun Tatana yang bertanggungjawab menjaga adat budaya dan amalan tradisi suku kaum berkenaan.

Kimsit dan isterinya, Dimin menghias rumah dengan tanglung di rumah mereka di Kampung Menumpang, Kuala Penyu.

Bagi Kapitan Kimsit Singgang, beliau berkata, perayaan itu disambut sejak dari dulu lagi kerana salasilah keluarganya yang memang berasal dari Guangzhou, China.

“Dusun Tatana menyambut Tahun Baharu Cina ini memang disebabkan nenek moyang kami berketurunan Cina yang datang dari China pada zaman dahulu.

“Perayaan ini disambut oleh generasi seterusnya iaitu kepada bapa saya dan sekarang saya sendiri mengikut jejak langkah mereka merayakan perayaan ini pada setiap tahun,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Menumpang, di sini, baru-baru ini.

Kimsit, 65 menjelaskan masyarakat Dusun Tatana pada zaman lampau tidak mempunyai pegangan agama yang tetap, antara sebab mereka menyerap amalan kepercayaan Cina berikutan kedatangan masyarakat itu dari tanah besar China.

“Apabila kemasukan orang dari China ini, mereka mengikut jejak langkah kepercayaan dan budaya kaum Cina. Sejak itu, orang Dusun Tatana di Kuala Penyu ini mengubah cara untuk mengikuti agama yang ada termasuk Buddha, Kristian dan pelbagai lagi.

“Di Kuala Penyu ini keunikan dia banyak, kami di sini orang Kristian pun sambut Tahun Baharu Cina jadi ada yang beragama Islam ada juga ikut bersama-sama melawat kerana kami satu keluarga,” katanya.

Adat Cina yang diamalkan masyarakat Dusun Tatana ketika ini dipercayai dibawa pedagang China yang datang berdagang di daerah ini ketika zaman kesultanan Brunei ratusan tahun yang lampau.

Mengulas lanjut, Kimsit berkata, setiap kali menjelangnya perayaan Tahun Baharu Cina, pelbagai persediaan dilakukan mereka sekeluarga bagi memeriahkab sambutan.

“Persediaan kami sentiasa ada. Pada 31 haribulan (mengikut kalander Cina) kami akan sembahyang untuk orang tua kami dan keesokan harinya, waris ahli keluarga turut bersembahyang.

“Biasanya, rumah saya menjadi tumpuan oleh sanak saudara kerana kami memiliki tokong yang diwarisi daripada keluarga dan semuanya hadir untuk menyembah,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Dimin Engsuat, 62, berkata, menjelang perayaan Tahun Baharu Cina, dia akan mulai sibuk untuk membuat persiapan terutamanya membuat kuih-muih untuk dihidangkan kepada tetamu yang berkunjung.

Katanya, sudah 43 tahun mendirikan rumahtangga bersama suaminya dan beliau sudah biasa dengan rutin yang harus dibuat ketika menyambut perayaan itu.

“Persiapan yang saya buat selama ini sudah biasa dilakukan. Biasanya seawal dua minggu sebelum perayaan saya mulai membersihkan rumah dan kami bersama-sama menghias rumah dengan tanglung dan sebagainya.

“Dua hari sebelum sambutan Tahun Baharu Cina, saya mulai buat persediaan menyiapkan kuih muih yang dijadikan hidangan dan biasanya kuih yang disediakan ialah Tinapung (kuih bakul) dan Tinimbu (kuih kocong).

“Dua hidangan ini wajib dibuat dan dihidangkan kepada tetamu yang berkunjung ke rumah pada sambutan Tahun Baharu Cina nanti,” katanya.

Pasangan suami isteri itu berharap tahun ini semua ahli keluarga termasuk tujuh anaknya dapat pulang dan meraikan perayaan itu bersama-sama walaupun keadaan Covid-19 belum pulih sepenuhnya.

“Anak-anak saya ada yang bekerja di Kota Kinabalu, Sarawak dan di Semenanjung. Jadi saya harap mereka dapat pulang kerana mereka sudah ‘berhutang’ tahun lalu tidak dapat merayakan bersama-sama disebabkan kekangan prosedur operasi standard (SOP) pandemik Covid-19,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|