Mahkamah tolak permohonan ikat jamin kes bunuh pembantu rumah

Mahkamah tolak permohonan ikat jamin kes bunuh pembantu rumah

Kota Kinabalu: Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, hari ini menolak permohonan bekas finalis MasterChef Malaysia yang berdepan dakwaan membunuh pembantu rumahnya bagi mendapatkan pelepasan dengan ikat jamin.

Permohonan ikat jamin tertuduh, Etiqah Siti Noorashikeen ditolak Pesuruhjaya Kehakiman, Amelati Parnell ketika prosiding penghakiman berkaitan perkara itu, hari ini.

Ibu tiga anak berumur 33 tahun itu bersama suaminya, Mohammad Ambree Yunos @ Unos, 40, yang juga seorang kontraktor didakwa bersama membunuh pembantu rumah mereka pada Disember tahun lalu.

Mereka didakwa membunuh Nur Afiah Daeng Damin, 28, di sebuah rumah di Amber Tower, Lido Avenue, Jalan Lintas, Penampang antara 10 Disember dan 13 Disember 2021.

Pertuduhan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pasangan berkenaan didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada 29 Disember tahun lalu namun tiada pengakuan direkodkan.

Mahkamah juga tidak membenarkan ikat jamin sehingga tarikh perbicaraan kerana ia membabitkan kesalahan yang tidak boleh diikat jamin.

Bagaimanapun, Etiqah yang diwakili peguam Datuk Seri Rakhbir Singh memfailkan notis usul meminta mahkamah menggunakan budi bicara mengikut Seksyen 388 Kanun Acara Jenayah.

Dalam penghakimannya, Amelati berkata mahkamah mendapati tiada situasi luar biasa yang membolehkan mahkamah menggunakan budi bicaranya bagi mengeluarkan ikat jamin.

Amelati berkata, tertuduh melalui peguamnya mengemukakan bahawa dia ialah seorang ibu yang menyusukan badan dan menjaga tiga anaknya yang masih kecil.

Bagaimanapun, Amelati berkata alasan itu tidak mencukupi untuk mahkamah membebaskan tertuduh dengan ikat jamin, lebih-lebih lagi dia berdepan dengan pertuduhan yang serius iaitu membunuh pembantu rumahnya.

Pada masa sama, katanya mahkamah mengambil kira kebimbangan responden yang diwakili Timbalan Pendakwaraya, Mohammed Ali Imran mengenai risiko gangguan terhadap saksi.

Mahkamah Majistret sebelum ini menetapkan 17 Mei depan untuk sebutan semula kes kerana menunggu laporan bedah siasat simati dikeluarkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|