Kelemahan penguatkuasaan Imigresen di Menumbok dan Jesselton Point akan diatasi – Maximus

Kelemahan penguatkuasaan Imigresen di Menumbok dan Jesselton Point akan diatasi – Maximus

Labuan: Kelemahan penguatkuasaan Imigresen yang membenarkan kemasukan individu ke Sabah melalui Terminal Feri Menumbok dan Jesselton Point dari Wilayah Persekutuan Labuan tanpa pemeriksaan akan diselesaikan tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata jaminan mengenai perkara itu diberikan Jabatan Imigresen Sabah dan Labuan selepas mengambil kira cadangan bagi menguatkuasakan undang-undang Imigresen di kedua-dua pintu masuk Sabah itu.

Maximus menghadiri perjumpaan bersama pegawai kanan Jabatan Imigresen Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen Sabah dan Jabatan Imigresen Labuan sudah memberi jaminan menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang dan peraturan bagi melindungi hak Imigresen Sabah sejajar dengan usaha kerajaan negeri menuntut hak dan kuasa penuhnya seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita melihat berlaku kelemahan Imigresen di antara Labuan dan pintu masuk ke Sabah melalui Terminal Feri Menumbok dan Jesselton Point yang mana tiada Pegawai Imigresen ditempatkan di lokasi terbabit.

“Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) membangkitkan isu ini kerana khuatir ada individu menyalahgunakan kelemahan ini untuk masuk dan keluar Sabah tanpa pemeriksaan, rekod dan dokumentasi yang sah,” katanya selepas pertemuan bersama pegawai kanan Jabatan Imigresen, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yussof; pemangku Pengarah Jabatan Imigresen Labuan, Norlela Jumat dan Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Philip Yaditing.

Maximus berkata hak Imigresen Sabah dikurangkan selepas penubuhan Wilayah Persekutuan Labuan ketika era kerajaan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) pada 1984 yang membenarkan kemasukan individu dari Semenanjung ke Sabah melalui Labuan.

“Bagaimanapun, pada mesyuarat hari ini, Jabatan Imigresen berkata mereka bersedia untuk mengkaji dan bertindak atas keputusan kerajaan Sabah berhubung perkara itu,” katanya.

Katanya, Majlis Khas MA63 (MKMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membantu dalam membuat keputusan jika kerajaan Sabah membawa perkara itu dalam mesyuarat yang dijadualkan pada bulan depan.

-Deasoka

Share

Written by:

731 Posts

View All Posts
Follow Me :
error: Content is protected !!