Ghulam terima ijazah sarjana, graduan cemerlang IPD-OUM

Ghulam terima ijazah sarjana, graduan cemerlang IPD-OUM

Kota Kinabalu: Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar antara 30 graduan yang menerima ijazah sarjana pada Majlis Penganugerahan Khas 2023 Institute Professional Development Sdn Bhd (IPD)-Open University Malaysia (OUM), di sini semalam.

Beliau yang menerima Ijazah Sarjana Professional Master Analyst in Political Science turut dinobatkan sebagai graduan cemerlang.

Penyampaian ijazah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif, Meteor Learning Sdn Bhd, Prof Madya Dr Mohd Nazri Mohd Noor.

Hadir sama Pengarah, Pusat Pembelajaran OUM Kota Kinabalu, Mohd Jaffry A Rashid dan wakil IPD Learning Centre Kota Kinabalu, Fazillah Bakrin.

Dalam ucapan ringkasnya, Ghulam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang merakamkan penghargaan kepada barisan tenaga pengajar atas sokongan, dorongan dan bimbingan sepanjang pengajian.

Beliau turut menyifatkan anugerah pelajar cemerlang yang diterimanya sebagai milik bersama kerana semua pelajar adalah sama-sama terbaik, terhebat dan terbilang.

“Kejayaan ini atas usaha bersama di mana kita semua saling bertukar pandangan dalam menghadapi semua mata pelajaran menjelang peperiksaan dan ia terhasil atas bimbingan berterusan tenaga pengajar,” katanya.

Ghulam juga berharap agar IPD-OUM terus berusaha mendemokrasikan pendidikan tinggi dan melangkah ke hadapan bagi melahirkan graduan cemerlang.

Pada majlis itu, seramai 64 graduan daripada empat jurusan menerima sijil masing-masing.

Daripada jumlah itu, 30 menerima Ijazah Sarjana Professional Master Analyst in Political Science, 28 menerima Executive Diploma in Political Science, dua Executive Diploma in Agriculture Science dan empat Certificate in Rural Development and Administration.

Dalam ucapannya, Mohd Nazri berkata proses pembelajaran sepanjang hayat perlu bagi meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran dalam industri pekerjaan yang kian mencabar.

Katanya, kerajaan telah memberi penekanan besar terhadap latihan dan kemahiran, termasuk menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) bagi menambah baik akses kepada pembiayaan untuk menyokong pembangunan inovasi dan kemahiran.

Beliau berkata pembelajaran sepanjang hayat membolehkan graduan kekal relevan dengan mendapatkan kemahiran diperlukan oleh industri.

“IPD komited memberikan latihan kemahiran yang diperlukan dengan yuran berpatutan dan semua orang kini berpeluang menimba kemahiran di institut ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|