KENINGAU: Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles menunaikan bayaran zakat fitrah bagi tahun 1447 Hijrah kepada Wakil Amil Kariah Bingkor, Imam Juslin Ibrahim, dalam satu majlis ringkas di Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor, di sini.
Yazid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran dan Pengurusan (JK P&P) Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor berkata, zakat fitrah adalah kewajipan yang perlu ditunaikan setiap umat Islam yang berkemampuan sebagai penyempurna ibadah puasa pada bulan Ramadan.
Menurut beliau, bayaran zakat fitrah hendaklah disalurkan melalui amil yang dilantik bagi memastikan pengurusan zakat dilaksanakan secara teratur, telus dan sampai kepada golongan asnaf yang benar-benar memerlukan.
“Zakat fitrah bukan sekadar kewajipan, sebaliknya amalan yang menyucikan jiwa dan harta, di samping membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Beliau pada masa sama menggesa umat Islam, khususnya di kawasan Bingkor, supaya menunaikan zakat fitrah lebih awal dan tidak menangguhkannya hingga ke saat akhir bagi memudahkan proses agihan kepada fakir, miskin dan golongan yang layak.
Tambahnya, semangat kebersamaan serta keprihatinan sepanjang Ramadan wajar terus diperkukuh dengan memperbanyakkan amalan bersedekah, berzakat dan mengimarahkan masjid melalui pelbagai aktiviti keagamaan.
“Semoga ibadah zakat fitrah yang ditunaikan menjadi asbab keberkatan, penyucian diri serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
