KENINGAU: Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun, yang menegaskan kepentingan kesinambungan dasar serta kestabilan politik sebagai asas utama pembangunan negeri Sabah.
Menurutnya, pandangan yang diketengahkan Ceasar adalah realistik dan selari dengan realiti sebenar di lapangan, khususnya apabila perubahan dasar yang kerap serta keputusan tergesa-gesa sebelum ini didapati memberi kesan negatif terhadap kelancaran pelaksanaan projek pembangunan dan akhirnya menjejaskan kepentingan rakyat.
“Kita tidak kekurangan bakat, kepakaran dan sumber. Namun, apa yang lebih penting ialah kestabilan pentadbiran supaya perancangan dapat dilaksanakan secara berterusan, projek dapat disiapkan mengikut jadual dan dana awam dilindungi daripada pembaziran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yazid berkata, beliau turut menyokong pendirian Ceasar yang menekankan keperluan mengelakkan pembaziran wang rakyat akibat keputusan pentadbiran yang tidak mengambil kira implikasi jangka panjang, seperti yang pernah berlaku dalam pengurusan beberapa projek infrastruktur dan perkhidmatan asas negeri sebelum ini.
Mengulas pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, beliau menyifatkannya sebagai langkah tepat, berwawasan dan bersifat pembetulan bagi memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara inklusif, mampan serta memberi manfaat langsung kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“Pendekatan SMJ 2.0 yang menekankan kestabilan politik, peluang ekonomi, pembangunan modal insan dan pengukuhan perpaduan rakyat amat selari dengan keperluan semasa, khususnya bagi masyarakat luar bandar yang memerlukan kesinambungan dasar dan kepastian pelaksanaan,” katanya.
Sehubungan itu, Yazid menyeru semua pihak agar mengetepikan perbezaan politik serta kepentingan sempit, sebaliknya bersatu menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, demi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan dengan berkesan dan benar-benar berteraskan kepentingan rakyat.
