SANDAKAN: Seorang lelaki warga emas ditemui rentung selepas rumah atas air didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Mumiang, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.19 malam itu, mangsa Lee Thung Mong, 77, ditemui di dalam rumah berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem NG999 sebelum sepasukan lapan anggota dikerahkan ke lokasi.
Katanya, pasukan bomba terpaksa menggunakan bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, didapati kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 20 x 30 kaki yang terbakar 100 peratus.
“Penduduk kampung telah melakukan pemadaman awal menggunakan pam air sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa ditemui lebih awal oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) yang berada di lokasi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, anggota bomba kemudian menjalankan operasi memadam sisa bara api selain memastikan kawasan sekitar selamat.
“Operasi turut berdepan kesukaran berikutan tiada laluan darat selain keadaan air laut surut, menyebabkan pergerakan ke lokasi bergantung kepada bot agensi penyelamat.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.35 tengah malam,” katanya
