KOTA KINABALU: Tiga buah rumah kediaman musnah hampir sepenuhnya dalam satu kebakaran yang berlaku di Kampung Tebobon, Menggatal, awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 5.43 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas dan Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira kira 15 kilometer dari balai.
Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 5.59 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan tiga buah rumah, dua daripadanya jenis separuh kekal dan sebuah lagi jenis tidak kekal. Ketiga tiga rumah tersebut dilaporkan terbakar sehingga 95 peratus.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dengan empat pancutan air yang diperoleh daripada jentera serta pili bomba berhampiran.
Seramai 20 anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut yang diketuai oleh PBK II Saflan Sapri bersama Komander Operasi Kanan, PKPgB Noor Sherriyana Bohari.
Dalam kejadian itu, dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan melecur. Seorang lelaki berusia 60 tahun mengalami melecur pada tangan, kaki dan bahagian belakang badan, manakala seorang wanita berusia 48 tahun cedera ringan pada tangan kanan dan kaki kiri. Kedua dua mangsa dihantar ke Hospital Tuaran untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pasukan bomba turut berjaya menyelamatkan dua buah rumah berhampiran daripada turut terlibat dalam kebakaran tersebut.
Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 6.41 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.30 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
