SEMPORNA: Polis menahan seorang lelaki bukan warganegara selepas didapati memiliki dadah disyaki syabu seberat 51.13 gram dalam Operasi Tapis yang dijalankan di Kampung Batu, di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 10 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna ketika menjalankan operasi membanteras pengedaran dan penagihan dadah.
Menurutnya, suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum polis menghampirinya untuk pemeriksaan lanjut.
“Suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan singkat, namun berjaya diberkas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hasil pemeriksaan mendapati suspek memiliki dadah disyaki syabu seberat 51.13 gram yang disimpan dalam satu bungkusan plastik hitam dan berada dalam genggaman tangannya, sebelum diserahkan sendiri kepada pihak polis.
Beliau berkata, suspek berusia 32 tahun itu turut menjalani ujian saringan air kencing dan didapati positif Amphetamine serta Methamphetamine.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah terdahulu,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Dalam perkembangan sama, polis menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras jenayah narkotik demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, khususnya di daerah Semporna.
Orang ramai turut diseru menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah kepada balai polis berhampiran bagi membantu tindakan penguatkuasaan.
