SANDAKAN: Tindakan pantas anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya mengelakkan kejadian tidak diingini selepas seekor ular tedung sembur dikesan memasuki sebuah bilik di sebuah rumah di Taman Tinosan, Batu 4, pagi tadi.
Menurut kenyataan APM, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sandakan menerima panggilan kecemasan melalui talian 999 sekitar jam 10 pagi daripada pemilik rumah yang memaklumkan kehadiran reptilia berbisa itu.
Susulan laporan diterima, sepasukan anggota digerakkan segera ke lokasi bagi menjalankan operasi menangkap ular.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati seekor ular tedung sembur berada di dalam bilik rumah berkenaan. Operasi dijalankan menggunakan peralatan khas iaitu satu penyepit dan satu penjerut,” menurut kenyataan itu.
Ular berkenaan yang dianggarkan seberat kira-kira 400 gram dan berukuran lebih kurang setengah meter berjaya ditangkap dengan selamat sebelum dimasukkan ke dalam karung untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 11.21 pagi dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan sepanjang operasi dijalankan.
APM menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya berdepan situasi melibatkan haiwan berbisa, sebaliknya segera menghubungi talian kecemasan 999 bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga sentiasa terjamin.
