KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menghadiri Majlis Mengucapkan Selamat Berangkat kepada Jemaah Haji Negeri Sabah bagi Musim Haji 1447H/2026M di Dewan Kinabatangan III, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Isnin.
Turut berangkat menyempurnakan majlis itu ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman.
Acara dimulakan dengan alunan zikir Asma’ul Husna serta bacaan doa yang dipimpin Mufti Negeri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Haji Jaafar, sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan wakil pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) dan perutusan khas Yang di-Pertua Negeri Sabah kepada para jemaah.
Majlis kemudian diteruskan dengan sesi bersalaman Yang di-Pertua Negeri bersama para jemaah haji selepas laungan azan.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd.Arifin Mohd Arif, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab dan Pengarah Eksekutif Pengalaman Pelanggan, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Mohamed Ameen Abdul Wahab.
Bagi musim haji 1447/2026M, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan keseluruhan jemaah seramai 1,195 orang di mana 507 orang terdiri daripada jemaah lelaki dan 688 orang jemaah wanita.
Pada penerbangan hari ini, seramai 142 bakal haji berlepas dari Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menjalani proses Makkah Route sebelum berlepas ke Tanah Suci.
