KOTA KINABALU: Sebarang usaha menghidupkan semula tuntutan ke atas Sabah disifatkan sebagai tidak berasas, malah mencerminkan kejahilan terhadap sejarah pembentukan Malaysia serta realiti kedaulatan negeri ini.
Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah, Aksyah Haji Nasrah, menegaskan bahawa Sabah kekal sebagai wilayah bebas dan berdaulat yang secara sah memilih untuk bersama membentuk Persekutuan Malaysia melalui proses yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebelum ini yang menegaskan kesetiaan rakyat Sabah kepada Malaysia adalah berasaskan fakta sejarah yang kukuh dan tidak boleh dipertikaikan.
“Tiada sesiapa pun di dunia ini boleh menafikan Sabah sebagai wilayah yang bebas dan berdaulat. Rakyat Sabah telah membuat pilihan jelas untuk bersama Malaysia sejak awal lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aksyah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Senator Filipina, Robin Padilla yang menggesa Presiden Ferdinand Marcos Jr supaya menghidupkan semula tuntutan terhadap Sabah.
Menurutnya, kenyataan itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah dilihat tidak menghormati kestabilan geopolitik dan hubungan serantau di Asia Tenggara yang sekian lama terpelihara.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa pembentukan Malaysia telah melalui proses telus, termasuk penubuhan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 bagi menilai pandangan rakyat Sabah dan Sarawak.
“Suruhanjaya ini diwujudkan untuk mendapatkan suara rakyat secara menyeluruh, dan hasilnya jelas menunjukkan rakyat Sabah memilih untuk bersama-sama membentuk Malaysia sebelum pengisytiharan pada September 1963.
“Keputusan itu bukan sahaja muktamad, malah menjadi asas kepada pembentukan negara, termasuk jaminan hak dan keistimewaan Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perkara 20,” katanya.
Beliau menegaskan, sekiranya benar wujud sebarang tuntutan, ia sepatutnya dibangkitkan sebelum dapatan Suruhanjaya Cobbold dimuktamadkan dan sebelum Sabah secara rasmi menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.
“Dalam konteks hari ini, tuntutan sedemikian langsung tidak relevan dan hanya memperlihatkan pengetahuan cetek mengenai sejarah serta proses pembentukan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Aksyah berkata kemajuan yang dicapai Sabah di bawah kepimpinan Hajiji melalui agenda Sabah Maju Jaya 2.0 terus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai wilayah berdaulat dalam Malaysia.
Beliau turut menegaskan bahawa kewujudan institusi Yang di-Pertua Negeri Sabah (TYT) adalah simbol penting kedaulatan, kebebasan dan perpaduan negeri yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sabah agar terus bersatu hati mempertahankan kedaulatan negeri serta berganding bahu menyokong kerajaan dalam menjayakan agenda pembangunan yang sedang dilaksanakan.
“Sudah tiba masanya kita menolak sebarang kenyataan tidak berasas dan memberi fokus kepada usaha memajukan negeri demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
