LAHAD: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan kedaulatan Sabah susulan isu tuntutan oleh pihak luar termasuk Filipina selain memperkukuh kawalan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).
Komander ESSCOM DCP Datuk Victor B Sanjos berkata berkaitan dengan isu tuntutan Filipina terhadap negeri Sabah, Sabah ini sudah tentunya berdaulat di dalam Malaysia.
“Jadi itu kita akan serahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menanganinya.
Namun demikian, bagi pihak ESSCOM, kita akan sentiasa memantau, memperhatikan dan juga mendapatkan segala butiran perincian intelijen jika sekiranya terdapat usaha-usaha yang tidak diingini.., Katanya
ESSCOM katanya bersama pasukan keselamatan lain akan terus memastikan kedaulatan dan keamanan di kawasan ESS Zone sentiasa terpelihara.
Setakat ini, tahap ancaman dilaporkan masih berada pada paras rendah namun pemantauan berterusan tetap dilaksanakan sebagai langkah berjaga-jaga.
Mengulas isu ketirisan di sempadan, Victor menjelaskan bahawa operasi bersepadu menerusi Op Tiris akan terus diperkasakan bagi menghalang penyeludupan barangan bersubsidi keluar dari negeri ini.
“Jadi saya telah pun mengarahkan pasukan keselamatan bersama-sama dengan pasukan keselamatan yang lain supaya mengambil tindakan tegas dan pantas sebagaimana di dalam usaha kami dalam TEKAD tadi..supaya mesej-mesej ini sampai kepada mereka yang cuba atau ingin menyeludup. Buat masa ini, kita akan ambil tindakan tegas dalam semua undang-undang yang sedang berkuat kuasa, jelasnya
Terdahulu, beliau menyampaikan amanat sempena Majlis Perhimpunan ESSCOM bersempena sambutan ulang tahun ke-13 yang diadakan di Dewan Markas Pangkalan Marin, pagi tadi.
Dalam pada itu, ESSCOM akan terus memperkukuh kawalan keselamatan susulan peningkatan keyakinan antarabangsa terhadap tahap keselamatan di Sabah Timur.
Perkembangan positif ini dapat dilihat apabila beberapa negara Eropah menurunkan tahap nasihat perjalanan ke kawasan berkenaan daripada tahap tiga kepada tahap dua pada awal tahun ini.
Situasi tersebut turut memberi impak kepada sektor pelancongan apabila kemasukan pelancong asing meningkat sebanyak 18.9 peratus khususnya dari Jepun dan Korea Selatan.
Menurut Victor, pencapaian itu adalah hasil kerjasama berterusan antara ESSCOM dan rakan strategik seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selain ketiadaan kes penculikan untuk wang tebusan dalam tempoh empat hingga lima tahun lalu.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelbagai inisiatif proaktif telah dilaksanakan termasuk membawa perwakilan asing ke Sabah Timur bagi melihat sendiri tahap keselamatan sebenar di kawasan itu.
Dalam perkembangan lain, ESSCOM kini memberi tumpuan kepada operasi membanteras resort haram di Semporna dengan 86 daripada 190 premis dikenal pasti beroperasi tanpa lesen.
Hasil dua operasi bersepadu yang dijalankan, seramai 28 pendatang asing tanpa izin berjaya ditahan selain rampasan dan kompaun berjumlah kira-kira RM680,000 direkodkan.
Pada masa sama, semua agensi keselamatan diseru untuk terus memperketat kawalan sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan terutama dalam situasi ketidaktentuan bekalan tenaga global ketika ini.
Bersempena sambutan ulang tahun ke-13, ESSCOM turut menyampaikan sijil penghargaan kepada lebih 20 agensi yang menjadi rakan strategik termasuk pengamal media sebagai tanda penghargaan atas kerjasama yang diberikan.
Sementara itu, Mohd Hafizuddin Mohd Noor diumumkan sebagai pemenang pertandingan mencipta lagu ESSCOM bertajuk “Benteng Timur”.
Selain itu, logo rasmi sempena Hari Ulang Tahun ke-13 turut diperkenalkan dengan konsep gabungan elemen institusi, teknologi dan simbol perayaan ulang tahun yang menggambarkan komitmen ESSCOM selama 13 tahun dalam menjaga keselamatan Sabah Timur melalui pendekatan moden dan bersepadu.
Victor menegaskan kejayaan ESSCOM sepanjang penubuhannya adalah hasil kerjasama erat antara pasukan keselamatan, agensi kerajaan serta sokongan masyarakat dan media.
Komitmen itu akan terus diperkukuh bagi memastikan ESSCOM kekal proaktif, berintegriti dan sentiasa bersedia dalam menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah.
