SANDAKAN: Seramai tujuh individu dikenakan tindakan dalam satu operasi penguatkuasaan sepanjang bulan Ramadan yang dijalankan di beberapa lokasi tumpuan sekitar bandar ini, pada Rabu.
Operasi tersebut dilaksanakan di kawasan belakang Bangunan Wisma Saban, Pasar Besar, belakang Pasar Ikan serta sekitar beberapa restoran.
Pegawai Tadbir JHEAINS Sandakan, Ustaz Rahmin Arman, berkata hasil operasi mendapati individu terbabit melakukan kesalahan seperti merokok serta makan dan minum secara terbuka di tempat awam pada siang hari sepanjang Ramadan.
“Seramai empat individu didapati merokok manakala tiga lagi makan di tempat awam.
“Kesemua mereka dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, operasi seumpama itu akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan kesucian bulan Ramadan terus terpelihara.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar menghormati bulan Ramadan serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.
