LAHAD DATU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui agensinya, Tourism Malaysia, menganjurkan sesi taklimat bantuan geran pelancongan bersama penggiat industri dan pemegang taruh sektor pelancongan di Lahad Datu, semalam.
Program itu bertujuan memberi penerangan menyeluruh mengenai kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) serta pelan strategik yang digariskan kerajaan bagi memacu pembangunan sektor pelancongan negara.
Antara insentif yang dikongsikan kepada peserta termasuk Geran Galakan Melancong Malaysia (GAMELAN), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP) dan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) yang disampaikan wakil Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Sesi taklimat berkenaan disertai lebih 40 peserta terdiri daripada wakil industri, rakan strategik dan pihak berkepentingan utama. Ia merupakan sebahagian inisiatif VM2026 bagi memperkukuh sektor pelancongan negara.
Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Haryanty Abu Bakar berkata, kempen Melawat Malaysia 2026 bukan sekadar promosi pelancongan, sebaliknya satu gerakan nasional yang mencerminkan semangat perpaduan, keharmonian dan kepelbagaian budaya negara.
Menurutnya, sesi taklimat itu diharap dapat memberi inspirasi kepada penggiat industri pelancongan di Lahad Datu untuk bergerak lebih proaktif dan kreatif dalam aktiviti promosi bagi menarik lebih ramai pelawat ke daerah tersebut.
Kempen VM2026 juga menekankan usaha memperkukuh sektor pelancongan sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara, sejajar dengan prestasi ketibaan pelawat antarabangsa yang memberangsangkan pada tahun 2025 dengan jumlah 42.1 juta pelawat.
Bertemakan Surreal Experiences, VM2026 akan menampilkan pelbagai program berskala nasional sepanjang tahun, termasuk festival, acara kebudayaan, pameran dan sambutan komuniti bagi menarik pelawat dari seluruh dunia.
Kempen itu dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan ketibaan pelawat, membuka peluang pekerjaan baharu serta memperkukuh imej Malaysia di peringkat antarabangsa, di samping memberi manfaat kepada komuniti setempat dan sektor berkaitan seperti pengangkutan, peruncitan, kraf tangan serta industri kecil dan sederhana.
Hadir sama Pengerusi Persatuan Pelancongan Lahad Datu,Joe Wong.
