LAHAD DATU: Pasukan Gerakan Am Briged Sabah terus memperkukuh keupayaan tempur bagi menghadapi sebarang bentuk ancaman keselamatan di negeri ini.
Bagi merealisasikan usaha tersebut, seramai 126 pegawai dan anggota daripada unit Tiger Platun Sabah telah menyertai latihan khas serta pertandingan Tiger Challenge Briged Sabah yang berlangsung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Februari di Lahad Datu.
Komander Briged PGA Sabah, SAC Nor Omar Sappi berkata, latihan itu bertujuan memperkasakan tiga pasukan elit Tiger Platun agar sentiasa bersedia untuk digerakkan pada bila bila masa.
Menurutnya, faktor keselamatan di Sabah menuntut kesiapsiagaan berterusan, apatah lagi negeri ini pernah berdepan ancaman keselamatan serius sebelum ini.
“Hasrat saya adalah untuk memperkasakan tiga tim elit ini supaya boleh dideploy pada bila bila masa dan menghadapi apa juga jenis ancaman. Kita sedia maklum Sabah ini memang ada risikonya dan kita mempunyai sejarah lampau seperti Op Daulat. Sudah tentu Tiger Platun atau PGA itu sendiri perlu sentiasa siap sedia dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Awani Borneo selepas majlis penutupan acara tersebut di padang kawad Batalion 17 PGA Lahad Datu petang tadi.
Latihan berkenaan disertai anggota dari Batalion 14, 15, 16, 17, 20, 21 dan 22 PGA dari seluruh Sabah.
Antara acara yang dipertandingkan ialah tembak taktikal, mara lasak sejauh 13 kilometer dengan beban 20 kilogram, ronda pandu arah, mendaki bukit, acara 2.4 Kilometer dan serta tembak jatuh piring
Dalam keputusan keseluruhan, Batalion 17 PGA Lahad Datu muncul juara, diikuti Batalion 15 PGA Sandakan sebagai naib juara, manakala tempat ketiga dimenangi Batalion 14 PGA Tawau.
