SEMPORNA: Pengusaha pelancongan tempatan tampil memberikan penjelasan berhubung isu tempat penginapan di Semporna yang menjadi perhatian umum, termasuk dakwaan kononnya premis penginapan di daerah itu dikuasai sepenuhnya oleh syarikat luar negara.
Pengerusi Koperasi Pelancongan North Borneo Semporna Berhad, Haji Kerino Jalani berkata, tanggapan bahawa semua penginapan di Semporna diusahakan oleh syarikat luar negara adalah kurang tepat kerana kebanyakan premis sebenarnya diuruskan oleh syarikat dan tenaga kerja tempatan.
Menurut beliau, walaupun terdapat penglibatan pelabur atau agen luar negara, peranan mereka lazimnya tertumpu kepada penyediaan modal kewangan, kepakaran reka bentuk serta bantuan pemasaran bagi menarik pelancong antarabangsa.
“Pengurusan dan operasi harian masih dikendalikan oleh syarikat tempatan dan rakyat tempatan turut mendapat manfaat melalui peluang pekerjaan,” katanya dalam satu maklumbalas rasmi.
Kerino yang juga mantan Pengerusi Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna serta bekas Pegawai Pembangunan Masyarakat Sulabayan berkata, kerjasama dengan pelabur luar merupakan alternatif penting bagi pengusaha kecil dan sederhana yang berdepan kekangan modal.
Katanya, proses mendapatkan bantuan kewangan kerajaan sering dilihat mencabar serta mengambil masa yang panjang, menyebabkan sebahagian pengusaha memilih kaedah usahasama dengan pelabur luar bagi memastikan perniagaan dapat dijalankan.
Selain itu, beliau menjelaskan syarat modal berbayar RM250000 bagi permohonan lesen Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia turut memberi kesan kepada pengusaha kecil terutama yang mempunyai kurang daripada lima unit penginapan.
Menurutnya, kekangan tersebut secara tidak langsung menyumbang kepada kewujudan premis yang belum berlesen kerana pengusaha tidak mampu memenuhi syarat modal berkenaan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan semula kadar modal berbayar tersebut kepada sekitar RM50000 seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
Beliau yakin langkah itu dapat menggalakkan lebih ramai pengusaha tempatan beroperasi secara sah serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Kerino turut menegaskan bahawa syarikat tempatan yang terlibat tetap mematuhi tanggungjawab undang undang termasuk pembayaran cukai pintu, cukai pelancongan, caruman KWSP serta cukai pendapatan kepada LHDN.
Maklumbalas itu dibuat susulan pendedahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 6 Februari lalu yang mendedahkan sebanyak 81 tempat penginapan di Semporna, majoritinya diusahakan oleh pengusaha dan syarikat dari luar negara. Menteri berkenaan, Datuk Armizan Mohd Ali berkata kerajaan negeri serta pihak berkaitan perlu meneliti isu tersebut.
