Kota Kinabalu: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) kira-kira jam 1.20 tengah hari tadi bagi menghadiri Ekspedisi Mahkota Borneo di Sabah.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan bersama beberapa kenamaan lain.
Sejurus tiba, baginda dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu sebelum meneruskan perjalanan ke Kundasang.
Menariknya, sepanjang ekspedisi berkenaan, baginda turut memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda yang digunakan dalam konvoi ekspedisi tersebut.
Dalam ekspedisi berkenaan, Tengku Hassanal turut dijadual mendaki Gunung Kinabalu pada Selasa dengan diiringi pegawai serta anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU), selain pengiring rapat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ekspedisi Mahkota Borneo itu dilihat sebagai platform memperkukuh hubungan antara institusi diraja dan rakyat selain mempromosikan keindahan alam semula jadi Sabah kepada umum.
