PUTATAN: Bagi memeriahkan suasana Hari Raya Aidilfitri, Pejabat ADUN N.24 Tanjung Keramat dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Putatan menganjurkan program Cahaya Aidilfitri bermula 10 hingga 18 Mac hadapan.
Pengerusi Penganjur, Mohd Ruzaini Zulkepli berkata; penganjuran tersebut hanya tertakluk kepada penduduk di lokaliti DUN Tanjung Keramat sahaja dan tiada sebarang pembayaran yuran dikenakan.
Katanya, acara ini merupakan inisiatif bersama ADUN Tanjung Keramat; Shah Alfie Yahya (SAY) dengan pendaftaran penyertaan dibuka secara rasmi pada hari ini dan tamat pada 9 Mac 2026.
Jelas beliau, Cahaya Aidilfitri mempunyai dua kategori melibatkan pertandingan lampu berhias (colorlight) dan lampu pelita (susul).

“Untuk johan pertandingan susul, pemenang akan membawa pulang wang tunai RM1500 berserta hamper, tempat kedua RM1000 berserta hamper, tempat ketiga RM800 berserta hamper manakala 12 pemenang sagu hati terpilih membawa pulang wang tunai RM200.
“Begitu juga bagi kategori lampu berhias colorlight, pemenang akan membawa pulang wang tunai RM1500 berserta hamper, tempat kedua RM1000 berserta hamper, tempat ketiga RM800 berserta hamper manakala 12 pemenang sagu hati terpilih membawa pulang wang tunai RM200.
“Pemenang untuk kesemua ini akan diumunkan pada 18 Mac dan insyallah upacara penyampaian hadiah itu akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Putatan; Datuk Ir Shahelmey Yahya, ” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran program Cahaya Aidilfitri Tg Keramat di Pejabat UPPM Tanjung Keramat, di sini, pada Khamis.
Hadir sama adalah Pegawai Khas Kanan Parlimen Putatan; Mohd Sufian Matin, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat; Latip Jiar dan Pegawai Kemajuan Masyarakat Tg Keramat; Syed Arizal Karim.
Mengulas lanjut, Mohd Ruzaini berkata; penyertaan boleh diisi menggunakan aplikasi ‘googleform’ dan tarikh pembukaan penyertaan adalah bermula hari ini (5 Mac) dan ditutup pada 9 Mac (Isnin).
“Kepada yang berminat menyertai, boleh isi googleform atau QR code yang kami siarkan di laman sosial kami, hebahan media dan aplikasi WhatsApp.
“Lanjutan terma dan syarat akan disertakan dalam borang google form berkenaan, “katanya lagi.
Sementara itu, mengenai aspek keselamatan, beliau berkata, pihaknya menerima maklum daripada agensi berkaitan seperti bomba dan polis.
“Seperti mana saya dimaklumkan, aspek keselamatan turut menjadi keutaamaan bagi perlaksanaan program ini di mana bomba melalui BBP Putatan menyarankan penyediaan alat pemadam api kepada setiap peserta.
“Sehubungan itu, kita juga menetapkan kumpulan juri pada dua malam kemuncak nanti untuk mencari para pemenang dengan beberapa kriteria seperti kecantikan, kekemasan, keceriaan, kebersihan jadi penetapan permarkahan kepada para peserta.
“Program “Cahaya Aidilfitri” ini dianjurkan bagi menyemarakkan suasana Ramadan, Syawal serta nggalakkan kreativiti komuniti di DUN ini.
“Selain itu, ia dapat menghidupkan budaya pemasangan lampu pelita tradisional dan apa yang lebih penting adalah mencetuskan semangat kerjasama penduduk setempat, “katanya.
