TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas disyaki cuba menceroboh sebuah rumah di Taman Rainbow, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin bin Hussin berkata, suspek warga tempatan berusia 29 tahun ditahan kira-kira jam 5.40 petang ketika sepasukan anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) BPJKK IPD Tawau menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pihak polis mendapati suspek berada di kawasan rumah berkenaan dalam keadaan mencurigakan sebelum bantuan tambahan dipanggil ke lokasi.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tombol pintu belakang rumah berkenaan tiada dipercayai telah diumpil, selain turut menemui sebilah pemotong paip di belakang rumah,” katanya.
Jelasnya, suspek bagaimanapun tidak sempat masuk ke dalam rumah dan mengambil barang sebelum berjaya ditahan pihak polis, kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, polis memandang serius sebarang cubaan pecah rumah dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang cuba mengganggu ketenteraman awam.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang pergerakan mencurigakan di kawasan perumahan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan jiran tetangga agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling serta disaran untuk mengamalkan konsep kejiranan dan segera menghubungi polis sekiranya mengesan individu tidak dikenali atau aktiviti mencurigakan di kawasan kejiranan.
