PETALING JAYA: Bekas menteri Abdul Rahman Dahlan meletak jawatan sebagai ketua Umno Tuaran tetapi kekal sebagai ahli majlis kerja tertinggi (MKT) parti.
Bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu bagaimanapun menafikan beliau bertindak demikan kerana wujud masalah dalam Umno Sabah, sebaliknya ingin memberi peluang kepada orang baharu.
Menurutnya, dalam keadaan politik sekarang Umno Sabah memerlukan pemimpin ‘berdarah muda’ untuk memastikan kelangsungannya.
“Saya pun sudah berkecimpung dalam Umno malah 10 tahun sebelum parti itu masuk Sabah dengan penubuhan Kelab Umno California
“Saya telah bincang dengan semua kawan-kawan (dalam Umno) dan mereka faham, dalam keadaan politik sekarang kena bagi laluan kepada orang baharu.
“Tetapi saya kekal sebagai ahli MKT Umno,” kata bekas timbalan ketua Umno Sabah itu kepada FMT.
Peletakan jawatan Abdul Rahman berkuat kuasa 1 April lepas dan kekosongan itu diisi oleh timbalannya, Norbaki Lamsari. Beliau juga telah memaklumkan keputusan itu kepada Presiden Umno Zahid Hamidi serta Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki.
Kedudukan Abdul Rahman dalam Umno Sabah berdepan pasang surut sejak 2020 susulan perbezaan pendapat yang dilihat antara beliau dengan ketuanya ketika itu, Bung Moktar Radin.
Pada 2024, mereka berbalas kenyataan susulan tindakan Abdul Rahman menjemput Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor ke perasmian mesyuarat Umno Tuaran yang dirasmikan Zahid.
Ketika itu, Umno dan GRS berseteru namun kedua-duanya kembali bekerjasama untuk menubuhkan kerajaan Sabah pasca PRN pada November lepas.
Pada PRN itu, Abdul Rahman sepatutnya mewakili Barisan Nasional (BN) di DUN Tempasuk tetapi menarik diri selepas namanya diumumkan Bung Moktar.
Beliau memberi alasan kerana ingin memberi laluan kepada muka baharu serta anak tempatan Kota Belud untuk mewakili parti di DUN itu.
Bung Moktar meninggal dunia pada 5 Dis tahun lepas dan tempatnya digantikan Adun Sukau Jafry Ariffin manakala ahli MKT Mohd Hasnol Ayub menggantikan Abdul Rahman sebagai timbalan ketua Umno Sabah.
Mengulas masa depan politiknya, Abdul Rahman berkata, setakat ini beliau masih kekal dengan Umno namun mengakui ada tawaran daripada parti lain.
“Banyak parti sekarang ini yang tumbuh macam cendawan dan kepimpinan pula tak ramai,” katanya.
“Dalam senario itu, siapa sahaja memang banyak tawaran … bukan sahaja saya, KJ (Khairy Jamaluddin) pun ramai cakap orang tawarkannya (sertai parti).”
