KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar mempengerusikan mesyuarat sesi libat urus bagi membincangkan isu stok beras di kedai-kedai dan pasar raya di negeri ini di Wisma Pertanian, di sini, hari ini.
Mesyuarat tersebut diadakan susulan masalah kekurangan pembekalan beras di kedai-kedai yang dilaporkan berlaku pada minggu lalu.
Menurut Jamawi, pihaknya masih menerima maklum balas daripada wakil rakyat di beberapa daerah berhubung situasi berkenaan di lapangan.
“Terdapat rakan-rakan wakil rakyat masih menghantar kekurangan beras melalui gambar dan video di kedai-kedai yang mereka kunjungi,” tegasnya.
Beliau berkata, mesyuarat itu bertujuan mendapatkan gambaran sebenar situasi semasa serta mengenal pasti langkah yang boleh diambil bagi membantu menyelesaikan masalah berkenaan.
“Jadi inilah tujuan mesyuarat diadakan bagi melihat gambaran sebenar dan apakah yang kita boleh bantu dan dapat menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Jamawi turut memaklumkan bahawa Ketua Menteri telah mengarahkannya untuk memeriksa dan memastikan bekalan beras, khususnya Stok Penimbal (Stockpile), mencukupi bagi tempoh enam bulan.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kabinet Negeri turut mengamanahkannya untuk memastikan keterjaminan makanan termasuk aspek kecukupan bekalan dan kawal selia beras melalui agensi kementerian, iaitu Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS).
Bagaimanapun, beliau menjelaskan LPBS tidak mempunyai punca kuasa dari segi penguatkuasaan.
“LPBS tidak ada punca kuasa dalam penguatkuasaan, memantau sekiranya ada penyorokan, penyeludupan dan sebagainya,” katanya.
Dalam masa sama, katanya, pihak BERNAS dan Bahagian Kawal Selia masih memainkan peranan memantau stok serta keperluan berkaitan manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) menguatkuasa harga barangan dan pencatutan.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan berlakunya penyeludupan beras dan isu kekurangan bekalan di pasaran.
“Ini juga adalah untuk mengelakkan berlakunya penyeludupan beras dan bekalan ghaib,” jelasnya.
Sebagai langkah susulan, satu lagi pertemuan bersama pemain industri dan pembekal padi akan diadakan pada 7 April ini.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Jumain Abdul Ghani; Timbalan Setiausaha Tetap I, Awang Dzulkernain Awang Hassan; Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Shahril Nizam Shahirin; Ketua Operasi Pejabat Beras Corporation Sdn Bhd Sabah, Hervian Kirman; Timbalan Pengarah Pejabat Kawalselia Padi dan Beras Negeri Sabah, Rosman Shamsul; Pengarah LPBS, Datuk Dr. Ramle Kasin serta pegawai kementerian.
