KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranan sebagai institusi pemindahan ilmu kepada masyarakat menerusi penganjuran Program Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) 100³ bertemakan STEM Explorer@UMS.
Program yang melibatkan 30 murid Tahun Lima dan Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Kampung Brunei, Membakut tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif nasional Padanan 1 Saintis : 1 Sekolah.
Kemuncak program ialah sesi lawatan dan aktiviti di Makmal Gunasama Fakulti Sains dan Teknologi (FST) yang memberi pendedahan langsung kepada murid terhadap persekitaran makmal sebenar.
Murid dedahkan kepada peralatan asas kimia melalui demonstrasi eksperimen yang menarik, selamat dan bersesuaian dengan tahap pembelajaran.
Antara eksperimen yang dijalankan ialah Fireproof Balloon yang memperlihatkan konsep pemindahan haba, Volcano Experiment yang menunjukkan tindak balas kimia secara visual, dan Invisible Fire dan Fire Glow yang menerangkan fenomena pembakaran serta tenaga.
Program tersebut diterajui oleh Ketua Saintis FST, Prof. Madya ChM. Ts. Dr. Mohd Sani Sarjadi, dengan kerjasama Ketua Program Kimia Industri, Dr. Mohd Hafiz Abd Majid.
Menurut Sani, pendekatan pembelajaran berasaskan penerokaan dan eksperimen amat berkesan dalam menarik minat murid terhadap sains.
“Matlamat utama program ini adalah untuk menyemai minat awal terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan penerokaan.
“Melalui tema STEM Explorer@UMS, kami mahu murid melihat sains sebagai satu pengembaraan ilmu yang menyeronokkan dan bukan sesuatu yang menakutkan.
“Program seumpama ini merupakan tanggungjawab sosial universiti dalam melahirkan generasi celik STEM.
“Melentur buluh biarlah dari rebungnya, jika minat terhadap sains disemai sejak usia muda, negara akan memiliki modal insan yang berdaya saing dan inovatif pada masa hadapan,” katanya.
Penganjuran program turut disertai oleh Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Prof. Ts. Gs. Dr. Rodeano Roslee, sebagai manifestasi komitmen fakulti dalam memperkasa pendidikan STEM dan menyokong agenda pemindahan ilmu universiti kepada masyarakat.
