KOTA KINABALU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Kadzim Haji M. Yahya menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, H.E. Syed Ahsan Raza Shah, di pejabatnya di Bangunan Dewan Undangan Negeri, Teluk Likas, di sini, Jumaat lalu.
Dalam pertemuan itu, Haji Kadzim merakamkan penghargaan atas kesediaan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan untuk mengadakan kunjungan hormat ke DUN Sabah, selain menzahirkan komitmen institusi legislatif negeri itu dalam menyokong usaha memperkukuh hubungan persahabatan antarabangsa.
Beliau turut menegaskan peranan DUN Sabah sebagai institusi demokrasi yang penting dalam pembangunan negeri, di samping membuka ruang kerjasama yang boleh memberi manfaat bersama, selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Sabah.
Kunjungan hormat tersebut turut dihadiri Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Richard Yong We Kong dan Datuk Haji Al Hambra Tun Juhar.
