Pemuda Gagasan Rakyat menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Kerajaan Negeri Sabah untuk membantah permohonan penangguhan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi berhubung tuntutan hak 40% hasil bersih Persekutuan daripada Sabah.
Sebagai generasi muda yang akan mewarisi masa depan negeri ini, kami berpandangan bahawa usaha mempertahankan hak Sabah bukanlah soal politik semata-mata, tetapi soal keadilan dan penghormatan terhadap semangat Perlembagaan Persekutuan.
Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah menunjukkan komitmen yang jelas dan konsisten dalam memastikan proses perundingan dan libat urus dengan Kerajaan Persekutuan berjalan secara profesional, telus dan berlandaskan prinsip undang-undang. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga tegas memastikan keputusan Mahkamah dihormati serta dilaksanakan dalam tempoh yang telah ditetapkan.
Pendekatan matang dan berprinsip ini wajar disokong oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang politik kerana perkara ini melibatkan kepentingan jangka panjang rakyat Sabah.
Pemuda Gagasan Rakyat percaya bahawa sebarang usaha yang boleh melambatkan pelaksanaan keputusan Mahkamah tidak akan membantu mempercepatkan penyelesaian isu ini. Sebaliknya, apa yang diperlukan ketika ini ialah komitmen bersama untuk mencapai penyelesaian yang adil, munasabah dan menghormati hak Sabah sebagaimana yang termaktub dalam kerangka Perlembagaan.
Kami juga menyeru agar semua pihak di Sabah bersatu dalam isu ini. Hak Sabah adalah hak rakyat Sabah dan perjuangan ini harus dilihat sebagai usaha bersama demi memastikan masa depan negeri ini terus terpelihara.
Pemuda Gagasan Rakyat akan terus berdiri teguh bersama Kerajaan Negeri dalam mempertahankan hak dan kepentingan Sabah.
