KOTA KINABALU: Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan bagi mengkaji keperluan pelaksanaan semula Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) disambut baik pelbagai pihak, termasuk golongan pendidik berpengalaman.
Bekas Guru Besar Cemerlang, Haji Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata kajian semula itu amat bertepatan dengan keperluan semasa sistem pendidikan negara, khususnya bagi menilai keberkesanan mekanisme pentaksiran sedia ada.
Menurut beliau, pemansuhan UPSR dan PT3 sebelum ini telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa, guru serta masyarakat yang melihat keperluan kepada satu bentuk penanda aras nasional yang lebih jelas dan seragam bagi mengukur pencapaian murid.
“Walaupun Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mempunyai kekuatan tersendiri, peperiksaan berpusat seperti UPSR dan PT3 boleh berfungsi sebagai pelengkap penting dalam menilai tahap penguasaan murid secara lebih objektif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga bekas pentadbir sekolah berpandangan, peperiksaan berpusat berupaya membantu memastikan keadilan dalam penilaian pencapaian murid, terutamanya di sekolah luar bandar dan pedalaman yang berdepan kekangan sumber serta kemudahan.
Sehubungan itu, beliau berharap dapatan kajian yang bakal dibentangkan kepada Jemaah Menteri kelak mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan, termasuk guru berpengalaman, ibu bapa dan pakar pendidikan.
“Pendekatan inklusif ini penting bagi memastikan sistem pentaksiran yang dirangka benar-benar adil, seimbang dan berkesan demi masa depan anak-anak kita,” katanya.
Yazid kini aktif dalam pertubuhan masyarakat sebagai Ahli Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) serta Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor.
