KOTA KINABALU: Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC) dengan ini merakamkan ucapan tahniah serta mengalu-alukan pelantikan Yang Berhormat Datuk Ir. Shahelmey Bin Yahya sebagai Pengerusi SOGDC bertaraf Menteri.
Pelantikan ini telah disusuli dengan lawatan rasmi dan sesi taklimat Pengerusi ke ibu pejabat SOGDC, yang telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan, Tuan Mohd Azmir Bin Datuk Ramli, bersama barisan Pengurusan Tertinggi SOGDC.
Lawatan tersebut mencerminkan komitmen awal Pengerusi terhadap peranan dan tanggungjawab beliau dalam menerajui hala tuju strategik organisasi.
Dalam sesi berkenaan, Yang Berhormat Datuk Ir. Shahelmey Bin Yahya menekankan kepentingan tadbir urus yang kukuh, pemantauan prestasi korporat yang berkesan serta pengurusan bersepadu terhadap SOGDC dan anak-anak syarikatnya.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk memperkukuh strategi pelaburan SOGDC dengan memberi tumpuan kepada peluang pelaburan strategik yang mampan, di samping memastikan pelaksanaan pelaburan sedia ada berjalan secara teratur dan menepati objektif yang ditetapkan.
Pihak pengurusan dan seluruh warga kerja SOGDC menyambut baik pelantikan ini dan menyatakan komitmen penuh untuk bekerjasama secara profesional serta menyokong kepimpinan Pengerusi dalam melaksanakan agenda korporat dan dasar-dasar strategik syarikat. Usaha berterusan juga akan diterapkan bagi mengekalkan budaya kerja yang berintegriti, harmoni dan berorientasikan prestasi.
SOGDC yakin bahawa kepimpinan baharu ini akan memperkukuh peranan syarikat sebagai entiti strategik negeri, seterusnya menyumbang secara berterusan kepada pembangunan sosioekonomi Negeri Sabah melalui pendekatan yang mampan dan berimpak tinggi.
