KUALA LUMPUR: Sabah, melalui SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) telah memperoleh 20 peratus kepentingan penyertaan dalam Perjanjian ‘Farm-out’ 2011 Kontrak Perkongsian Pengeluaran North Sabah EOR susulan pemeteraian Perjanjian Farm-Out (FOA) bersama PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Mengalu-alukan pencapaian terbaharu itu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata inisiatif tersebut mencerminkan strategi jangka panjang Kerajaan Negeri untuk memperkukuh sektor tenaga Sabah melalui pelaburan berkualiti tinggi serta kerjasama erat dengan PETRONAS.
“Dengan peluang yang kini semakin berkembang di seluruh negeri dari Pantai Barat hingga Pantai Timur, kami mengalu-alukan pelabur bereputasi untuk bekerjasama dengan kami bagi memastikan manfaat yang mampan dan berkekalan kepada rakyat Sabah,” katanya selepas menyaksikan majlis pertukaran dokumen-dokumen sempena memperingati kerjasama antara Kerajaan Negeri Sabah dan PETRONAS.
Pengambilalihan tersebut, yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 adalah susulan kepada Perjanjian Dasar Induk (HOA) yang ditandatangani antara SMJE dan PCSB pada November 2025, sekali gus membuka laluan kepada transaksi muktamad hari ini.
Ia merupakan pengambilalihan huluan kedua SMJE sejak menyertai Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang pada April 2023, yang seterusnya mengukuhkan peranannya sebagai pemain strategik dalam landskap minyak dan gas Sabah.
North Sabah EOR PSC merangkumi empat medan minyak yang sedang beroperasi, terletak di perairan cetek pada kedalaman kira-kira 70 meter di luar pesisir Kota Belud.
Asset ini terdiri daripada 20 platform luar pesisir yang dihubungkan oleh saluran paip sepanjang 143 kilometer berdiameter 24 inci untuk menyalurkan minyak mentah ke Terminal Minyak Mentah Labuan (LCOT).
Selepas transaksi ini, SMJE akan memegang 20 peratus kepentingan rakan bukan pengendali, manakala SEA Hibiscus Sdn Bhd kekal sebagai Pengendali dengan 50 peratus kepentingan penyertaan, dan PCSB mengekalkan 30 peratus.
Langkah ini dijangka meningkatkan peruntukan minyak mentah SMJE, dengan jumlah pengangkutan kargo meningkat daripada 4.7 kargo pada 2025 kepada 7.0 kargo pada 2026, sekali gus memperkukuh aliran hasil dan kebolehpercayaan bekalan untuk Sabah.
Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kewangan yang juga Pengerusi SMJ Energy, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata North Sabah merupakan aset pengeluaran strategik, dan penyertaan SMJE menandakan peranan negeri yang semakin matang dalam aktiviti huluan.
“Langkah ini menjamin nilai jangka panjang, membina keupayaan komersial, dan memastikan lebih banyak manfaat disalurkan secara langsung kepada rakyat Sabah,” katanya.
Di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah ketika ini, SMJE terus mempercepat penciptaan nilai melalui perkongsian strategik, penglibatan tempatan dan pengurusan sumber yang bertanggungjawab, katanya.
Terdahulu, satu pertukaran dokumen telah berlangsung bagi Perjanjian Dasar Induk (HOA) antara PETRONAS dan Sabah Energy Corporation (SEC) untuk Kluster Mutiara.
HoA ini menetapkan rangka kerja bagi Perjanjian Jualan Gas (GSA) masa hadapan bagi memudahkan pembangunan kluster tersebut, yang disasarkan pada suku pertama tahun 2029.
Selain itu, pertukaran dokumen turut dilakukan bagi Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Kluster Permata antara PETRONAS dan Bridge Petroleum Limited, sebuah
Kontraktor Pengaturan Petroleum (PAC) yang baharu dilantik. Kluster Permata terletak di luar pesisir Sabah.
