KENINGAU: Pelancaran Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 disifatkan sebagai langkah strategik dan tepat dalam memastikan kesinambungan pembangunan Sabah yang lebih terancang, inklusif serta berpaksikan kesejahteraan rakyat, kata Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Hj Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik.
Beliau berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada kepimpinan Kerajaan Negeri di bawah teraju Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang terus komited meneruskan agenda pembangunan realistik dan berimpak tinggi melalui pendekatan Sabah Maju Jaya fasa kedua.
Menurutnya, SMJ 2.0 merupakan kesinambungan kepada SMJ 1.0 yang telah distruktur semula dengan mengambil kira pandangan serta kehendak rakyat di peringkat akar umbi, khususnya berkaitan usaha meningkatkan kualiti hidup merangkumi pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan, kebajikan serta peluasan peluang ekonomi sepanjang tempoh lima tahun pentadbiran Kerajaan GRS.
“Pendekatan SMJ 2.0 yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan, kesejahteraan rakyat, infrastruktur serta kelestarian hijau jelas membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk memastikan pembangunan yang dirancang bukan bersifat sementara, sebaliknya memberi impak jangka panjang kepada generasi kini dan akan datang,” katanya.
Yazid turut menyambut baik pengangkatan Ekonomi Biru sebagai pemacu strategik negeri yang disifatkan berpotensi membuka ruang baharu kepada pembangunan perikanan moden, bioteknologi marin, logistik, pelancongan lestari serta pemerkasaan ekonomi luar bandar.
Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri, malah berupaya mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta meningkatkan pendapatan rakyat, khususnya komuniti pesisir dan luar bandar.
Dalam pada itu, beliau berpandangan komitmen kerajaan memperkasa bantuan pendidikan, perumahan rakyat, kebajikan golongan memerlukan, selain penerapan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), mencerminkan pendekatan tadbir urus yang progresif, berdaya saing dan benar-benar berpaksikan rakyat.
Sehubungan itu, Yazid menegaskan kejayaan SMJ 2.0 tidak hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen padu semua lapisan kepimpinan di setiap peringkat, sokongan penjawat awam sebagai pelaksana dasar, serta kerjasama dan dukungan tidak berbelah bahagi daripada seluruh rakyat Sabah.
Beliau berkata, Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor akan terus memberikan sokongan terhadap segala inisiatif Kerajaan Negeri yang menjurus kepada kesejahteraan rakyat, pengukuhan perpaduan serta pembangunan seimbang, demi memastikan Sabah terus melangkah maju sebagai sebuah negeri yang makmur, inklusif dan berdaya tahan.
