KOTA KINABALU: Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dilancarkan 30 Januari lalu memberikan isyarat bahawa kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor terus komited menyantuni rakyat jelata, tanpa lelah.
Presiden Kehormat Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau (TCA), Datuk Najib Tay Abdullah berkata, ia secara langsung memberi gambaran signifikan kerajaan GRS dan komponennya sebagai sebuah intitusi yang kuat berkerja, berdasarkan pelan-pelan diperkenalkan dalam SMJ 2.0.
Jelasnya, masyarakat Tiong Hua di Sabah juga tidak terkecuali yang mana pelan-pelan terbabit turut membabitkan kaum-kaum serta masyarakat pelbagai di Sabah.
“Selepas edisi SMJ yang pertama, Ketua Menteri kita, Datuk Seri Hajiji tanpa berlengah melancarkan hala tuju 2.0 pula bagi meningkatkan keupayaan pembangunan sumber manusia, kebajikan rakyat dan peningkatan sosio dan ekonomi di Sabah.
“Kita harus menyokong usaha murni ini, kerana tanpa perancangan yang tersusun, pentadbiran akan dianggap lemah dan tidak berimpak, akan tetapi di bawah kepimpinan beliau, ia secara jelas bekerja tanpa penat dan lelah semata-mata demi rakyat, ” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, SMJ 2.0, jelas Najib Tay, ia berteraskan prinsip Rumah Kita, Kita Jaga, yang meletakkan kepentingan Sabah sebagai keutamaan, hak negeri di pertahan serta pembangunan mapan untuk masa depan negeri.
Tambahnya, empat teras iaitu Sabah First, Sabah Foward, Sabah Prosper dan Sabah United itu mampu menjadi ramuan terbaik kepada pihak kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi untuk terus memajukan negeri ini.
“Pembangunan sumber manusia, pendidikan, peluang ekonomi, dasar kerajaan yang merakyat semuanya termaktub di dalam empat teras berkenaan.
“Sehubungan itu, Hala Tuju SMJ 2.0 bukan sahaja menjadi teras dan panduan kepada kita, malah ia mampu mencatat rekod kepada perjalanan negeri kita lebih maju di masa hadapan.
“Oleh itu, tiada sebab kita menafikan pencapaian Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji yang sentiasa komited memenangkan rakyat Sabah dan dalam sama mempertahankan hak kita di peringkat persekutuan, sebagai rakyat kita perlu menyokongnya tanpa berbelah bahagi, “katanya.
Sementara itu, Najib Tay dalam kenyataan media sama turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tiong Hua di negeri ini dan berharap, sambutan tahun ini memberi manfaat kepada semua rakyat.
“Bersempena Tahun Baharu Cina 2026 ini, saya Najib Tay Abdullah ingin merakamkan ucapan Gong Xi Fatt Chai kepada kaum cina di Sabah dan berharap tahun kuda kali ini membawa keberkatan dan tuah.
“Raikan dengan keluarga tersayang dan utamakan keselamatan pada musim perayaan ini, “katanya.
