KOTA KINABALU: Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bukan sekadar kerangka dasar atau janji politik, sebaliknya satu amanah besar yang wajib dipikul secara bersama oleh seluruh rakyat Sabah.
Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah menegaskan
pelancaran rasmi SMJ 2.0 membuktikan kesungguhan kepimpinan negeri untuk melihat Sabah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan wilayah lain dalam Persekutuan Malaysia.
Menurutnya, Ketua Menteri secara konsisten menegaskan bahawa wawasan SMJ 2.0 adalah tanggungjawab bersama, bukan terletak di bahu kepimpinan semata-mata, tetapi merangkumi semua lapisan rakyat tanpa mengira peranan dan kedudukan.
“SMJ 2.0 bukan sesuatu yang boleh dinilai sebagai janji politik. Ia adalah destinasi yang perlu dicapai oleh seluruh rakyat Sabah, sama ada di barisan kepimpinan, penjawat awam, orang parti mahupun rakyat jelata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aksyah berkata, halatuju itu membawa amanah besar untuk menjadikan Sabah sebuah negeri maju dan berjaya dalam tempoh 2026 hingga 2030, selain menjadi persediaan penting kepada generasi akan datang agar mampu bersaing dalam dunia yang semakin kompetitif.
“SMJ 2.0 bukan milik Hajiji. Ia adalah impian murni rakyat Sabah yang perlu digalas bersama sebagai amanah setiap individu yang mengaku diri sebagai rakyat negeri ini,” katanya.
Mengulas peranan kepimpinan, beliau menekankan kepentingan kefahaman mendalam terhadap dasar dan paksi keutamaan yang digariskan kerajaan negeri, berbanding sekadar mengulang naratif tanpa penghayatan sebenar.
Beliau turut menegaskan peranan kritikal penjawat awam dalam memastikan tadbir urus dan tatakelola terus diperkasa, sekali gus membentuk sistem penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan dapat dirasai sehingga ke peringkat akar umbi.
Dalam masa sama, Aksyah berkata rakyat perlu memainkan peranan aktif melalui maklum balas berterusan serta komunikasi yang lebih berkesan berkaitan kejayaan dan penambahbaikan dasar, supaya SMJ 2.0 benar-benar berakar dalam jiwa masyarakat.
“Dari Tanah Suci saya mendoakan agar Ketua Menteri selaku nakhoda utama Sabah, bersama barisan kepimpinan negeri serta sektor awam, dikurniakan kekuatan dan kebijaksanaan dalam merealisasikan sepenuhnya halatuju SMJ 2.0.
“Sumbangan terbesar rakyat Sabah ialah sokongan berterusan. Setiap daripada kita perlu menghayati makna amanah yang dipikul agar gagasan SMJ yang kini memasuki fasa kedua dapat dijayakan bersama demi masa depan negeri,” katanya yang kini menunai ibadah umrah di Tanah Suci.
