KENINGAU: SM St. Francis Xavier (SM SFX) berjaya mengutip dana sebanyak RM62,280 menerusi penganjuran Program Jogathon 2026 yang berlangsung meriah dengan penyertaan memberangsangkan daripada warga sekolah serta komuniti setempat.
Program anjuran pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Ahli Lembaga Pengurusan Sekolah itu bertujuan mengumpul dana bagi menyokong pembangunan prasarana dan memperkasa pelaksanaan aktiviti kokurikulum demi manfaat pelajar.
Majlis perasmian jogathon berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert, yang memuji komitmen tinggi seluruh warga sekolah dalam menjayakan program berkenaan.
Dalam ucapannya, beliau berkata kejayaan kutipan dana itu membuktikan kekuatan sinergi antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat dalam memperkukuh asas pendidikan.
“Kejayaan kutipan dana ini membuktikan bahawa apabila pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti bergerak seiring, kita mampu membina asas pendidikan yang lebih kukuh untuk generasi akan datang. Pelaburan dalam pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang akan menentukan masa depan negara,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan komitmen dan sokongan, termasuk para penyumbang, guru, ibu bapa serta pelajar yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.
Sementara itu, pihak sekolah menyifatkan kejayaan penganjuran jogathon berkenaan sebagai manifestasi semangat kebersamaan dan keprihatinan komuniti terhadap agenda pembangunan pendidikan.
Dana yang diperoleh akan dimanfaatkan secara telus dan berfokus bagi meningkatkan kemudahan sekolah serta memperkasa program pembangunan sahsiah dan kepimpinan pelajar selaras dengan aspirasi melahirkan generasi berdaya saing dan holistik.
