KOTA KINABALU: Acara meja bulat berkaitan tokoh penyebar Islam Nusantara, Syaikh Jumadil Kubra, julung kali diadakan dengan menghimpunkan pelbagai pihak berkaitan termasuk pemilik manuskrip yang menyokong naratif kekeluargaan besar tokoh tersebut.
Program yang berlangsung di Dewan Bangunan Canselor, Universiti Malaysia Sabah hari ini menghimpunkan kira kira 50 peserta dan pembentang kertas kerja dari Filipina, Indonesia, Brunei dan Malaysia.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Hj Mansur.
Sidang tersebut antara lain membentangkan hasil pengkajian, pembukuan dan aktiviti Sekretariat Syaikh Jumadil Kubra bagi tahun 2025 serta naratif baharu mengenai salasilah tokoh berkenaan.
Antara dapatan kajian manuskrip yang dibentangkan termasuk kemungkinan Syaikh Jumadil Kubra berasal daripada jalur keturunan Musawi, iaitu susur galur daripada Musa Kazhim bin Imam Jaafar Sadiq, dengan perjalanan dakwah dari Madinah ke Baghdad, Khorasan, Yunnan, al Hind sebelum ke Nusantara.
Kajian turut menyentuh kemungkinan hubungan kekeluargaan tokoh tersebut dengan kesultanan awal di Brunei, termasuk Sultan Muhammad, Sultan Ahmad dan Sultan Syarif Ali.
Selain itu, manuskrip yang dikenali sebagai “Manuskrip Abdullah” atau “Manuskrip Lipatan” milik etnik Idahan yang berusia lebih 650 tahun turut dikongsikan. Manuskrip tersebut dipercayai berkaitan dengan Karimul Makhdum @ Syarif Aulia Syaikh Ibrahim Asmara, yang merupakan anak kepada Syaikh Jumadil Kubra.
Sidang juga membincangkan kaitan kekeluargaan Syaikh Jumadil Kubra dengan Kesultanan Melaka serta peranan keluarga tersebut dalam menjadikan Melaka sebagai pusat dakwah dan pendidikan Islam terunggul di Nusantara.
Selain itu, turut dibentangkan maklumat mengenai ibu kepada Syaikh Jumadil Kubra yang dikenali sebagai Sayyidah Khadijah binti Sayyid Abu al Fazal al Jilani al Hassani, daripada keturunan Syaikh Abdul Qadir al Jilani.
Dalam perkembangan berkaitan, penyelidik dan penulis buku mengenai tokoh tersebut, Bonda Tunsuzana Haji Othman, turut dijemput sebagai panelis dalam beberapa seminar antarabangsa berkaitan sejarah dan genealogi Wali Songo di Indonesia sepanjang tahun 2025, melibatkan penyertaan wakil Naqobah Asyraf dari Pakistan, Maroko serta keluarga Wali Songo.
Turut hadir, Mufti Negeri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Ustaz Hj Bungsu Aziz Bin Hj Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif Adam Foundation Charity, Haji Razali Daud; Sekretariat Syaikh Jumadil Kubra, Puan Tunsuzana @ Suzana Binti Haji Othman; Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam UMS, Dr Amer Hudhaifah Hamzah; Prof Adjung Universiti Islam Sultan Sharif Ali Brunei merangkap Yang Dipertua Persatuan Sejarah Brunei, YM Dr Awang Haji Md Rozan Dato Paduka Haji Mohamed Yunos; Ketua Umum Naqobah Ansab Aulia Tis’ah Indonesia, Kiyai Haji Raden Ilzamuddin Sholeh; Rajah Pu’tuan IX dari Filipina, Aijhun Jasmine Maalawai Montemayor Rebleza; Raja Kecil Dr Mohammad G Linas Al Haj dari Filipina Tuan Haji Yussup Nannong, Kefayatullah Malik Aman, Pertubuhan PAKAS dari Sabah,serta wakil -wakil organisasi berkaitan.
