KOTA KINABALU: Tujuh sekolah masih ditutup ketika sesi persekolahan bermula hari ini.
Dalam pada itu seramai 43,385 murid memulakan alam persekolahan di Tahun Satu, manakala 44,851 pelajar memulakan persekolahan menengah bagi negeri ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Raisin Saidin, berkata, Tujuh sekolah yang masih ditutup itu adalah di Beaufort dan juga Tenom.
Enam sekolah di Beaufort termasuklah Sekolah Kebangsaan Bengkalalak, SK Jabang, Sk Kebulu, SK Lago dan SK Suasa.
Kesemua sekolah itu ditutup disebabkan masalah banjir, katanya di sini hari ini.
Sebuah lagi sekolah yang masih ditutup di Tenom iaitu SK Simpang atas faktor keselamatan berdasarkan nasihat Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana runtuh kawasan sekolah, katanya.
Raisin berkata, turut memulakan alam persekolahan menengah ialah seramai 410 pelajar kelas peralihan.
Katanya, jumlah itu adalah sebahagian daripada 276,144 murid sekolah rendah dan 214,170 pelajar sekolah menengah yang direkodkan dalam sesi persekolahan baharu 2026.
“Secara keseluruhan ada seramai 490,314 murid dan pelajar bagi sesi persekolahan 2026 di Sabah yang bermula pada hari ini.
“Bagi tahun ini, Sabah merekodkan seramai 43,385 orang murid Tahun Satu, manakala seramai 44,851 pelajar Tingkatan Satu,” katanya dalam satu kenyataan.
Jumlah itu bagaimanapun, katanya tidak termasuk pelajar yang memasuki sekolah khusus dan kelas khas.
Sesi persekolahan 2026 bermula hari ini di lebih 1,000 sekolah rendah dan lebih 200 sekolah menengah di seluruh Sabah.
