SEMPORNA – Seorang wanita ditemui rentung selepas tujuh rumah setinggan musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran di Kampung Perigi, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Rastam Keladi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.12 pagi sebelum sembilan anggota bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi, kira-kira satu kilometer dari balai.
Menurutnya, jentera bomba tiba di tempat kejadian pada jam 11.16 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan tujuh buah rumah setinggan jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 55 x 100 kaki, dengan keseluruhan kawasan terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 100 kaki dengan dua pancutan, bersumberkan air daripada tangki jentera,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.57 pagi.
Bagaimanapun, seorang mangsa ditemui dalam keadaan rentung di lokasi kejadian.
“Mangsa dikenal pasti sebagai Munairaya Baluan, 58, dan mayatnya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, kerja-kerja overhaul masih diteruskan bagi memastikan tiada punca api berulang, selain siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.
“Maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.
