KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut manakala lima lagi cedera parah dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Pantai Lok Kawi Kinarut, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira kira jam 4.04 pagi, sebuah kereta Proton Iswara dilaporkan bertembung dengan sebuah Mitsubishi Triton sebelum sebuah lagi kenderaan turut terlibat. Akibat perlanggaran itu, Proton Iswara tercampak ke dalam parit manakala Mitsubishi Triton terbalik di lokasi kejadian.
Ketua Operasi, Marvin Domingo berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Putatan digerakkan ke lokasi sejauh lapan kilometer dan tiba pada jam 4.13 pagi.
Menurut beliau, seorang mangsa dari Proton Iswara didapati tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
Katanya lagi, empat mangsa lain dari kenderaan Proton Iswara tercampak ke dalam parit akibat impak perlanggaran tersebut.
Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk rawatan lanjut.
Dalam kejadian itu, pemandu Mitsubishi Triton dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala seorang penumpang wanita mengalami kecederaan.
Semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital berhampiran menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta jentera EMRS Bomba bagi mendapatkan rawatan susulan.
Operasi menyelamat melibatkan seramai 14 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Putatan serta Balai Bomba dan Penyelamat Penampang, dengan bantuan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.44 pagi.
