SEPANGGAR: Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick menggesa semua pihak meletakkan kepentingan Sabah sebagai keutamaan dalam menangani isu aduan kesesakan di Pelabuhan Sepanggar.
Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan menyatakan aduan isu kesesakan Pelabuhan Sepanggar mencakupi keseluruhan rantaian bekalan perkhidmatan, bukan hanya operasi di pelabuhan, tetapi juga di luar pelabuhan termasuk peranan pelbagai agensi Kerajaan dan juga keperluan pendigitalan perkhidmatan yang berkaitan.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak terutama operator Pelabuhan Sepanggar di sini, hari ini.
“Saya mengadakan kunjungan ke Pelabuhan Sepanggar hari ini untuk mengadakan perbincangan dengan operator pelabuhan serta pelbagai agensi yang berkaitan.
“Saya diberikan taklimat oleh Sabah Ports Sdn Bhd dan DPW Sabah Sdn Bhd sebagai operator pelabuhan dan juga taklimat daripada SEDIA mengenai projek pelabuhan Sepanggar yang sedang dilaksankaan.
“Saya juga dimaklumkan oleh Suria Capital Holdings mengenai rancangan perluasan Pelabuhan Sepanggar yang seterusnya.
“Data-data menunjukkan berlaku peningkatan ketara import-eksport kargo di Pelabuhan Sepanggar yang merupakan satu indikasi positif kepada aktiviti ekonomi Sabah.
“Perkara berkaitan aduan isu kesesakan dan kecekapan telah dibincangkan yang mencakupi keseluruhan rantaian perkhidmatan, bukan hanya di pelabuhan, tetapi juga di luar pelabuhan, daripada peranan pelbagai agensi kepada keperluan digitalisasi,” katanya.
Menurut Ewon, beliau akan mempengerusikan beberapa lagi perbincangan susulan sebelum mengangkat kertas kabinet untuk mendapatkan keputusan bagi cadangan-cadangan penyelesaian interim sementara menunggu penyelesaian jangka panjang (perluasan pelabuhan) disiapkan.
“Saya telah mengatakan, semua pihak harus meletakkan “Sabah State interest” sebagai keutamaan dan hanya dapat ditangani dengan adanya “pasukan Sabah First” yang mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian. Dengan demikian saya yakin kita boleh menangani isu kesesakan ini dengan lebih baik,” katanya.
