SEMPORNA: Sembilan buah rumah kediaman, sebuah stor, serta sebuah kedai runcit jenis tidak kekal musnah dalam kebakaran di Jalan Pinggir Bakau, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.51 tengah hari itu, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna tiba di lokasi dua minit kemudian.
Ketua Balai BBP Semporna, Rastam bin Keladi, berkata kebakaran melibatkan keseluruhan kawasan dianggarkan seluas 390 kaki x 180 kaki persegi dan memusnahkan 100 peratus struktur terlibat.
“Seramai 21 anggota membabitkan BBP Semporna dan bantuan BBP Air Semporna digerakkan ke lokasi bersama tiga jentera iaitu FRT, CFRT dan EMRS.
“Pasukan bomba menggunakan dua aliran sepanjang 500 kaki dengan dua pancutan air bagi memadam kebakaran, dengan sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut beliau, seorang wanita dikenali sebagai Imang binti Aspal, 53, dilaporkan pengsan di lokasi kejadian.
“Mangsa yang tidak sedarkan diri diberikan rawatan awal oleh Pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut,” katanya.
Operasi berjaya dikawal pada jam 2.29 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.30 petang selepas memastikan tiada lagi punca api dan kawasan berada dalam keadaan selamat.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.
