KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata agenda Koridor Pembangunan Sabah (SDC) di bawah seliaan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) adalah pelengkap strategik pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Ianya turut menyokong aspirasi pembangunan negara di bawah kerangka Malaysia Madani,” katanya pada majlis Sungkai Kurung-Kurung Ketua Menteri bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan di Menara Kinabalu hari ini.
Katanya, dalam landskap pembangunan negeri yang semakin kompetitif, pelaburan strategik merupakan pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.
“Keutamaan kita adalah kepada pelaburan berkualiti tinggi yang mampu menjana peluang pekerjaan bernilai tambah, memperkukuh rantaian bekalan tempatan, serta memberi limpahan manfaat yang jelas kepada komuniti setempat.
“Bagi memperkukuh ekosistem pelaburan negeri, SEDIA berperanan sebagai pemudah cara strategik dalam penyelarasan perancangan, pemacu promosi pelaburan serta penghubung antara Kerajaan Negeri, agensi Persekutuan dan sektor swasta,” katanya.
Ketua Menteri berkata Kerajaan negeri melalui SEDIA komited untuk memastikan agenda pembangunan dilaksanakan secara seimbang dan inklusif merentas seluruh Sabah.
Ini dapat dilihat di bawah kerangka SDC di mana beberapa kajian strategik telah disiapkan bagi menyokong perancangan pembangunan wilayah yang lebih seimbang dan bersasar, katanya.
Antaranya, Kajian Pelan Induk Ekonomi dan Pelan Perniagaan bagi POIC Sandakan; Kajian Pelan Induk dan Pelan Perniagaan bagi Zon Ekonomi Bebas, Hab Logistik dan Depoh Penyimpanan Sejuk di POIC Lahad Datu; Kajian Pembangunan Ekonomi Sempadan Sabah; dan Kajian Pelan Induk bagi Lembah Makanan di kawasan pedalaman Sabah.
“Kesemua dapatan kajian ini menyediakan asas perancangan yang lebih kukuh untuk memacu pertumbuhan ekonomi wilayah secara inklusif dan mampan.
“Dalam memastikan agenda pembangunan seimbang terus dipacu secara konsisten, SEDIA kekal relevan sebagai agensi pemudah cara dan penyelaras strategik untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi negeri.
“Keupayaan SEDIA turut diperkukuh melalui tadbir urus kewangan yang berintegriti, sebagaimana dibuktikan dengan penganugerahan Sijil Bersih Tanpa Teguran bagi penyata kewangan selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009 hingga 2024,” katanya.
Hajiji berkata selari dengan pendekatan pembangunan berteraskan rakyat, pelaksanaan projek infrastruktur berorientasikan people-centric terus diperkukuh bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara inklusif dan seimbang di seluruh negeri.
Inisiatif ini dilaksanakan dalam tempoh 2020 hingga 2025 dan merangkumi projek-projek kecil berimpak tinggi di tiga wilayah pembangunan utama, iaitu Wilayah Barat, Wilayah Tengah dan Wilayah Timur Sabah, melibatkan keseluruhan 32 daerah dan daerah kecil.
Menurutnya, secara kumulatif, sebanyak 1,126 projek kecil telah dilaksanakan sebagai intervensi bersasar bagi meningkatkan keterangkuman sosio-ekonomi, memperbaiki akses kepada kemudahan asas, serta merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan komuniti setempat, terutamanya di luar bandar.
Dalam pada itu, Ketua Menteri mahu semua ketua jabatan terus memperkukuh budaya prestasi tinggi dalam organisasi masing-masing.
“Kejayaan agenda pembangunan Sabah First (Sabah Didahulukan) menuntut komitmen kolektif, kepimpinan yang tegas, serta kesediaan untuk melaksanakan perubahan yang diperlukan demi kepentingan rakyat dan negeri.
Dalam majlis yang sama, Ketua Menteri telah menyampaikan Sumbangan Kasih Ramadan kepada 16 pusat tahfiz dan pengajian Islam yang berdaftar.
