KUALA LUMPUR: Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) dan PETRONAS semalam (9 Februari 2026) menandatangani pertukaran Heads of Agreement (HoA) bagi pembangunan Kluster Mutiara, satu sumber gas luar pesisir strategik di perairan luar Sandakan, dalam usaha memperkukuh bekalan gas asli ke Pantai Timur Sabah.
Pertukaran dokumen HoA itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SEC, Datuk Ir. Ts. Adzmir Abd Rahman dan Pengurus Besar Kanan Pengurusan Hidrokarbon Bersepadu PETRONAS, Ziaril Faiz Zakaria.
Majlis berkenaan disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr.Haji Safar Untong; Pengerusi SEC, Datuk Annuar Ayub serta Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM), Datuk Bacho Pilong.
HoA itu menetapkan rangka kerja komersial dan kerjasama strategik ke arah pemeteraian perjanjian jual beli gas pada masa hadapan, sekali gus menyokong pembangunan dan pengewangan sumber gas Kluster Mutiara bagi memenuhi keperluan tenaga jangka panjang Sabah.
Kluster Mutiara disasarkan mencapai pengeluaran gas pertama pada awal 2029 dan dijangka memainkan peranan penting dalam merombak landskap bekalan tenaga negeri.
Ketika ini, gas asli membekalkan kira-kira 86 peratus keperluan penjanaan elektrik Sabah, namun bekalan itu tertumpu di Pantai Barat, manakala Pantai Timur masih bergantung kepada penghantaran gas asli cecair (LNG) berskala kecil.
Pembangunan Kluster Mutiara bertujuan menangani ketidakseimbangan berkenaan dengan menyediakan bekalan gas berskala besar yang lebih stabil dan boleh dipercayai ke Pantai Timur, sekali gus menyokong keselamatan tenaga, merancakkan aktiviti ekonomi serta memacu pembangunan industri hiliran di Sandakan dan kawasan sekitarnya.
Selain pembangunan infrastruktur, HoA itu turut mencerminkan komitmen bersama SEC dan PETRONAS untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam membuka potensi sumber gas tempatan Sabah secara bertanggungjawab, di samping menyokong pasaran tenaga negeri yang lebih seimbang dan berdaya tahan.
Pembangunan Kluster Mutiara juga selari dengan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dan dijangka menyumbang kepada aliran pelaburan berterusan, penciptaan peluang pekerjaan serta pertumbuhan ekonomi jangka panjang negeri.
