KENINGAU: Ketua Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Pusat Daerah Mengundi (PDM) Keningau Station Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik@Charles, menyatakan sokongan penuh terhadap saranan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, agar semua Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) memainkan peranan lebih proaktif dalam menyampaikan pencapaian, dasar serta inisiatif Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, PPM merupakan antara jentera paling penting kerajaan di peringkat akar umbi kerana mereka berfungsi sebagai penghubung langsung antara pentadbiran kerajaan dengan masyarakat, khususnya dalam menyampaikan maklumat tepat berkaitan dasar, program serta bantuan yang dilaksanakan kerajaan negeri.
“PPM bukan sekadar penyampai maklumat, sebaliknya mereka adalah suara kerajaan di peringkat komuniti. Justeru, setiap PPM perlu melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh kejujuran, ketulusan dan keikhlasan demi memastikan rakyat benar-benar memahami hala tuju serta usaha kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kefahaman rakyat terhadap dasar dan pencapaian kerajaan amat penting bagi menangkis sebarang salah faham, fitnah atau maklumat tidak tepat yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap kerajaan sedia ada.
Hj Yazid berkata, pelantikan PPM juga bukan satu keistimewaan atau jawatan simbolik, sebaliknya satu amanah besar yang menuntut komitmen tinggi, disiplin serta integriti dalam melaksanakan tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri Sabah.
“PPM perlu turun padang, mendengar denyut nadi rakyat, memahami masalah sebenar di peringkat akar umbi dan seterusnya menyalurkan maklumat serta maklum balas kepada pihak kerajaan agar setiap dasar yang dirangka benar-benar memenuhi keperluan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada semua PPM yang telah dilantik oleh Ketua Menteri dan berharap mereka dapat memainkan peranan secara berkesan serta bertanggungjawab dalam menyokong agenda pembangunan negeri selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.
Dalam pada itu, Yazid menegaskan bahawa semua PPM yang dilantik perlu memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Ketua Menteri, serta Kerajaan GRS bagi memastikan kestabilan politik dan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.
Menurutnya, kestabilan politik adalah prasyarat utama kepada kejayaan pelaksanaan dasar dan program pembangunan, khususnya dalam memperkukuhkan ekonomi negeri, mempercepatkan pembangunan infrastruktur serta meningkatkan kesejahteraan rakyat, terutama di kawasan luar bandar.
Tambahnya, dengan kerjasama padu antara PPM, kepimpinan kerajaan dan seluruh jentera GRS, usaha memperkasa pembangunan negeri akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh, sekali gus memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat di Sabah.
