KOTA KINABALU: Tuntutan 40 peratus hasil Sabah wajar terus dipacu melalui saluran rasmi bagi memastikan proses rundingan berjalan teratur, berkesan dan tidak menjejaskan keharmonian hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan, kata Aktivis Politik Pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah.
Beliau menegaskan, tuntutan 40 peratus itu telah pun diberi jaminan oleh Perdana Menteri untuk dibayar kepada Sabah, manakala Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, turut menyatakan komitmen untuk berusaha memastikan hak berkenaan diperoleh.
“Tuntutan 40 peratus telah diberi jaminan oleh PMX akan dibayar kepada Sabah. Sementara Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah telah menyatakan akan berusaha memastikan tuntutan itu diperolehi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, komitmen dan kesungguhan Ketua Menteri dalam perkara itu tidak boleh dinafikan, apatah lagi kejayaan tuntutan berkenaan mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri.
“Beliau tahu, dengan kejayaan tuntutan ini, Sabah boleh lebih menjadi negeri yang maju dan makmur sebagaimana yang menjadi aspirasi di dalam Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.
Mengulas perkembangan semasa, Aksyah berkata beliau melihat terdapat “gerakan solo” oleh pihak tertentu yang cuba menggesa Kerajaan Persekutuan agar tuntutan itu diselesaikan segera, termasuk cadangan agar Ahli Yang Berhormat (YB) Sabah menyumbang dana bagi tujuan berkenaan.
“Saya melihat, akhir-akhir ini ada ‘gerakan solo’ untuk menggesa Kerajaan Persekutuan agar tuntutan ini diselesaikan dengan segera.
“Kumpulan pendesak ini turut menyeru setiap Ahli Yang Berhormat dari Sabah menyumbangkan dalam bentuk kewangan untuk tujuan ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berpandangan usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri ketika ini sudah memadai dan berada pada landasan yang betul.
“Pada saya, apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan Sabah ketika ini sudah cukup baik, teratur, dan melicinkan proses perundingan tuntutan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan adalah penting untuk memelihara iklim perbincangan yang harmoni dan tidak terganggu oleh tindakan yang bersifat mendesak.
“Justeru itu, adalah lebih baik iklim perbincangan dan perundingan yang baik ini kita pelihara, berbanding ada gerakan menuntut secara paksa yang berkemungkinan menyukarkan proses tuntutan dan menggugat keharmonian hubungan yang ada,” katanya.
Aksyah turut mengingatkan agar tiada pihak cuba menjadi ‘hero’ sehingga boleh menjejaskan rundingan yang sedang berjalan.
“Tidak perlulah ada yang cuba menjadi hero sehingga merosakkan proses perundingan yang sedang aktif berjalan.
“Jangan sampai, hero ini ibarat ‘tikus membaiki labu’… akhirnya suasana berubah menjadi ‘yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran’,” katanya.
Beliau yakin dengan jaminan Perdana Menteri serta kesungguhan Ketua Menteri, tuntutan berkenaan akan dapat direalisasikan demi masa depan Sabah.
“Saya yakin, jaminan PMX, kesungguhan Ketua Menteri, akan dapat menjadikan tuntutan ini suatu yang lebih nyata. Biar saluran rasmi ke hadapan,” katanya.
