KOTA KINABALU: Sabah menerima dana sebanyak RM22.75 juta daripada Kerajaan Persekutuan di bawah inisiatif “Ecological Fiscal Transfer” (EFT) bagi menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar oleh Kerajaan Negeri.
Dana tersebut, yang kini berjumlah RM126.36 juta sejak 2019, disampaikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor di Menara Kinabalu, berhampiran sini, hari ini.
“Ini jelas menunjukkan pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap dasar pemuliharaan alam sekitar Kerajaan Negeri yang kukuh,” kata Hajiji.
“Kerajaan Negeri mengalu-alukan sokongan berterusan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Turut dibincangkan ialah pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan penyelarasan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara dengan perundangan Sabah bagi memastikan manfaat ekonomi karbon dapat dioptimumkan oleh Kerajaan Negeri Sabah.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian NRES Datuk Nor Yahati Awang serta pegawai-pegawai kanan.
