KOTA KINABALU: Sabah terus mengorak langkah ke hadapan apabila muncul sebagai negeri perintis yang memperkukuh penglibatan aktif komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) dalam agenda kesihatan negara, sekali gus meletakkan negeri ini di barisan hadapan pelaksanaan konsep kesihatan inklusif.
Perkembangan itu dizahirkan menerusi pelantikan Pegawai Perubatan berpengalaman, Dr. Sabrina Moahmmad, sebagai Panel Penasihat Klinik Kesihatan Jalan Kebajikan bagi tahun 2026-2029, yang disifatkan sebagai langkah strategik dan progresif ke arah merealisasikan agenda Kesihatan Untuk Semua.
Panel Penasihat berkenaan berperanan sebagai pemacu utama penglibatan masyarakat, selain menjadi penghubung strategik antara komuniti setempat dengan Jabatan Kesihatan dalam merancang, mengurus dan melaksanakan program kesihatan berorientasikan komuniti secara inklusif dan menyeluruh.
Melalui pendekatan itu, penglibatan rakyat, khususnya golongan OKU, tidak lagi bersifat pasif, sebaliknya dilibatkan secara langsung dalam proses perancangan dan sokongan pelaksanaan inisiatif kesihatan, sekali gus memastikan setiap program yang dijalankan lebih berkesan serta menepati keperluan sebenar komuniti.
Dr. Sabrina yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam Kesihatan Awam, turut memiliki Ijazah Sarjana Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi, dengan fokus penyelidikan terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya aspek kesihatan, kesejahteraan dan keadilan sosial.
Beliau juga berpengalaman luas dalam pentadbiran dan advokasi kesihatan menerusi peranannya sebagai Pegawai Perhubungan Kesihatan kepada Menteri/EXCO Kesihatan Sabah, selain penglibatan aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk sebagai Presiden Alzheimer Disease Sabah dan Timbalan Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional Malaysia.
Gabungan latar belakang profesional, akademik dan kerja lapangan itu menjadikan Dr Sabrina individu yang tepat untuk menyatukan dasar kesihatan, pelaksanaan program serta suara komuniti, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai rujukan nasional dalam pembangunan sistem kesihatan inklusif.
Mengulas pelantikan itu, Dr Sabrina menegaskan bahawa kejayaan agenda kesihatan tidak boleh bergantung kepada sistem kesihatan semata-mata.
“Kesihatan bukan tanggungjawab sistem kesihatan sahaja. Penglibatan aktif masyarakat, khususnya komuniti OKU, adalah nadi kepada kejayaan agenda Kesihatan Untuk Semua. Sabah kini membuktikan bahawa pendekatan inklusif dan komunikasi dua hala membolehkan setiap suara didengari serta setiap program memberi impak sebenar kepada rakyat,” katanya.
Sebagai Panel Penasihat, beliau dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaringan antara komuniti dan Jabatan Kesihatan, di samping memacu penglibatan aktif rakyat dalam semua inisiatif kesihatan di peringkat akar umbi.
Dengan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki, setiap program kesihatan di Sabah dijangka dapat dirancang dan dilaksanakan secara lebih inklusif, sistematik dan berimpak tinggi, khususnya dalam meningkatkan kesejahteraan golongan OKU.
Pendekatan yang diterajui Sabah itu dilihat sejajar dengan aspirasi nasional dan global bagi memastikan akses kesihatan yang adil, berkualiti dan menyeluruh, sekali gus wajar dijadikan model oleh negeri-negeri lain di seluruh negara.
