KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan bahawa kedudukan Sabah sebagai sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia adalah muktamad dan tidak wajar dipersoalkan oleh mana-mana pihak.
Menurut beliau, isu berkaitan kedaulatan Sabah sering kali dibangkitkan semula, khususnya menjelang musim pilihan raya di Filipina, namun hakikatnya rakyat Sabah telah lama membuat keputusan untuk bersama-sama membentuk Malaysia sejak awal lagi.
“Setiap kali hampir pilihan raya di negara jiran, isu ini akan timbul semula. Namun pendirian rakyat Sabah sudah jelas sejak dahulu lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada Sabtu.
Kenyataan itu sebagai respons kepada tindakan Senator Filipina, Robin Padilla yang menggesa Presiden Ferdinand Marcos Jr. untuk menghidupkan semula tuntutan Filipina ke atas Sabah.
Dalam satu kenyataan di media sosial, Padilla dilaporkan menyeru kerajaan Filipina agar mengambil langkah lebih tegas termasuk menghantar wakil rasmi ke wilayah berkenaan yang didakwanya mempunyai hak milik oleh negara itu.
Mengulas lanjut, Hajiji menegaskan bahawa Sabah merupakan negeri yang sah dan diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia.
“Sebarang dakwaan yang cuba mempertikaikan kedudukan ini adalah tidak berasas dan hanya mengelirukan. Perkara ini perlu diperbetulkan agar tidak menimbulkan salah faham,” tegasnya.
