KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengalualukan pelabur Jepun ke Sabah, khususnya dalam sektor Ekonomi Biru.
Dalam pertemuan bersama Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki, di Sri Gaya hari ini, Ketua Menteri berkata Ekonomi Biru menawarkan pelbagai peluang pelaburan.
Beliau berkata dasar mesra pelabur Kerajaan Negeri turut membuka ruang kepada pelabur untuk meneroka pelbagai sektor ekonomi.
Shikata berada di Sabah untuk lawatan rasmi selama tiga hari, termasuk melawat Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta mempromosikan Green×Expo 2027 yang akan diadakan di Yokohama, Jepun.
Duta Besar itu turut diiringi Ketua Pejabat Konsular Jepun di Kota Kinabalu, Yamashita Yoshito, serta pegawai-pegawai Kedutaan Jepun ke Malaysia.
