KOTA KINABALU: Cadangan penubuhan Konsulat India di Sabah perlu ditangani secara telus dan berpaksikan prinsip Sabah First bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat benar-benar memelihara kepentingan negeri serta rakyatnya.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, susulan pengumuman cadangan berkenaan dalam sidang media bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri India, Narendra Modi, baru-baru ini.
Beliau berkata, pengumuman itu yang dilihat sebagai perkembangan penting dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan India, bagaimanapun menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat Sabah berikutan ketiadaan penjelasan rasmi terperinci daripada kerajaan negeri setakat ini.
“Prinsip Sabah First menuntut supaya setiap perkara yang melibatkan negeri ini, khususnya yang mempunyai implikasi strategik antarabangsa, perlu mengambil kira pandangan, kepentingan serta persetujuan kerajaan negeri.
“Rakyat Sabah berhak mengetahui sama ada kerajaan negeri telah dirujuk secara rasmi sebelum pengumuman cadangan ini dibuat di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, dari sudut pembangunan ekonomi, penubuhan Konsulat India berpotensi membuka ruang baharu dalam perdagangan, pelaburan dan pelancongan.
Katanya, India sebagai antara ekonomi utama dunia mempunyai potensi besar sebagai rakan dagang Sabah, terutama dalam sektor minyak sawit, pertanian, teknologi, pendidikan dan perubatan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang bentuk kerjasama antarabangsa mestilah memberi manfaat langsung dan terukur kepada rakyat Sabah, bukan sekadar memenuhi kepentingan diplomatik di peringkat nasional.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri supaya menjelaskan secara terbuka skop fungsi konsulat yang dicadangkan, unjuran manfaat ekonomi kepada Sabah serta jaminan bahawa kepentingan negeri akan sentiasa dilindungi.
“Ketelusan amat penting bagi mengelakkan salah faham, spekulasi dan persepsi negatif dalam kalangan rakyat. Penjelasan yang segera, jelas dan berfakta akan membantu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap hala tuju pembangunan serta hubungan antarabangsa Sabah,” katanya.
Beliau berkata, semua pihak berkaitan wajar tampil memberikan kenyataan rasmi bagi memastikan setiap keputusan yang diambil selaras dengan aspirasi Sabah First serta mengukuhkan kedudukan Sabah dalam landskap kerjasama antarabangsa.
