KOTA KINABALU: KEADILAN Sabah memandang serius kenyataan berulang oleh Senator Robin Padilla yang cuba menghidupkan semula isu tuntutan Sabah oleh Filipina. Kenyataan sebegini jelas bukan sahaja tidak berasaskan realiti semasa, malah dilihat dangkal dalam menghadapi krisis tenaga dunia.
Hakikatnya, isu Sabah telah lama diselesaikan melalui sejarah, undang-undang dan kehendak rakyat. Sabah secara sah menubuhkan Malaysia yang berdaulat pada tahun 1963 berteraskan prinsip penentuan nasib sendiri yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Cubaan Robin Padilla untuk membangkitkan semula tuntutan ini hanya menunjukkan kecenderungan menggunakan sentimen nasionalis secara populis bagi meraih sokongan politik, tanpa mengambil kira implikasi terhadap hubungan diplomatik dua hala antara Malaysia dan Filipina.
Lebih penting, realiti perundangan antarabangsa telah memuktamadkan kedudukan Malaysia. Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda telah menolak permohonan kumpulan Sulu untuk menguatkuasakan tuntutan bernilai hampir USD14.9 bilion terhadap Malaysia pada Jun 2023.
Pada Disember 2025 pula, Mahkamah Rayuan Paris di Perancis membatalkan sepenuhnya “Final Award” yang dikeluarkan oleh penimbang tara tidak sah, sekali gus menegaskan bahawa tuntutan kumpulan Sulu tidak mempunyai asas undang-undang.
Kemenangan berturut-turut ini membuktikan bahawa segala cubaan pihak tertentu untuk mencabar kedaulatan Sabah dalam Malaysia hanyalah sia-sia dan akan terus ditolak oleh sistem perundangan antarabangsa
Perkembangan ini menutup ruang kepada mana-mana pihak untuk memanipulasi isu Sabah melalui saluran undang-undang antarabangsa.
Dalam masa yang sama, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim terus membuktikan keutamaan sebenar adalah kebajikan rakyat Sabah. Ketika dunia berdepan ketidaktentuan harga tenaga, kerajaan mengambil langkah berani dan strategik dengan mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak serta meneruskan inisiatif subsidi bersasar melalui program BUDI MADANI bagi petrol RON95.
Langkah ini bukan sahaja membantu menstabilkan kos sara hidup rakyat, malah memastikan sektor logistik, perikanan dan pengangkutan di Sabah terus beroperasi tanpa tekanan kenaikan harga bahan api yang mendadak. Ia mencerminkan pendekatan kerajaan yang pragmatik, berimbang dan berpaksikan keperluan rakyat.
Justeru, KEADILAN Sabah menegaskan bahawa Sabah adalah berdaulat dalam Malaysia. Sebarang cubaan untuk mempertikaikan perkara ini, sama ada melalui retorik politik atau propaganda, adalah tidak bertanggungjawab dan berpotensi menggugat keharmonian serantau.
KEADILAN Sabah menyeru semua pihak agar menghormati kedaulatan negara dan tidak menjadikan isu sensitif ini sebagai alat politik murahan. Fokus seharusnya diberikan kepada memperkukuh kerjasama serantau demi kesejahteraan rakyat, bukan menghidupkan semula polemik lapuk yang telah pun ditolak oleh sejarah dan undang-undang.
